11 November 2009

Kerajaan diminta buktikan mahkamah bebas

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendesak kerajaan mengemukakan bukti bahawa mahkamah di Malaysia telahpun bebas dari pengaruh eksekutif pemerintah.

“Yang paling perlu bagi kerajaan adalah bawa suatu bukti...yang dipertikai bukan dari segi kerja buat, keilmuan (dan) kepakaran, tapi kebebasan mahkamah sendiri daripada campur tangan pihak eksekutif (kerajaan),” tegas beliau di Parlimen pagi tadi.

Tambahnya lagi, kes rakaman VK Linggam merupakan bukti jelas bahawa perlantikan Hakim tertentu dilakukan secara tidak bebas.

Sebaliknya, dicatur oleh beberapa pihak, termasuk ahli-ahli politik dalam kerajaan sendiri.

“Ianya jelas dalam kes (rakaman) VK Linggam umpamanya, memperlihat bukti institusi kehakiman itu dipengaruhi oleh pihak tertentu, termasuk pihak eksekutif...inilah yang membuktikan bahawa ianya tidak bebas,” tegasnya lagi.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat turut mempertikai integriti suruhanjaya diraja yang dilantik oleh kerajaan untuk menyiasat rakaman tersebut.

“Untuk membetulkan ini (tanggapan masyarakat bahawa mahkamah tidak bebas) tidak memerlukan suatu masa yang panjang, ia boleh dilakukan dengan segera oleh seseorang yang integriti dipertikai...terima pengaruh kerajaan dan semuanya boleh dibuktikan (tiada integriti),” tegasnya.

Beliau juga menganggap inisiatif kerajaan membentuk Jawatankuasa Pemilihan Kehakiman (JPK) demi memastikan memulihkan semula keyakinan rakyat pada kebebasan mahkamah, masih belum memadai.

Beliau turut menuntut kerajaan mengemukakan suatu pelan komprehensif demi menyelesaikan masalah tersebut.

Menjawab permintaan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hanya menyindir Khalid.

“Lain kali, kalau pakai alat bantuan dengar tu, jangan selalu sangat dilekat pada telinga, jadi pekak telinga itu,” sinis Nazri.

Pun begitu, Nazri menjelaskan bahawa kes VK Linggam akan dijawab kemudian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas meminta Khalid dan ahli parlimen pembangkang yang lain kembali membahaskan isu pokok, iaitu kebebasan Mahkamah di Malaysia.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan sebenarnya sedang berusaha menyelesaikan beberapa kes yang dibangkitkan Khalid.

“Bukan kita tidak mengambil tindakan tegas (dan) cepat, saya kata kesan (dari tindakan) itu memakan masa sikit, tindakan telahpun kita (kerajaan) ambil, berkesan itu (hasil tindakan kerajaan),” jelasnya lagi.

Nazri turut menjawab isu pemilihan Hakim yang didakwa Khalid tidak dilakukan secara bebas dan berintegriti.

“Kita (kerajaan) dah perkenalkan JPK (Jawatankuasa Pemilihan Kehakiman) untuk pilih dari nama-nama yang layak jadi Hakim. Jadi itu yang kami (kerajaan) lakukan.”

“Saya dah tak tahu nak buat apa-apa lagi, semuanya dah kita buat...kalau pembangkang ada apa-apa cadangan lagi, sila syorkan,” ujarnya.

Perbahasan tersebut ditangguhkan ke sesi petang. -END

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: