11 November 2009

Kua Xia Zhi Ru : Sanggup Menerima Penghinaan Biarpun Diminta Merangkak di Bawah Kelangkang Orang


Han Xin ialah seorang pemimpin tentera yang tersohor dalam sejarah China. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat miskin, dan ibu bapanya telah pun meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi. Sebelum berkhidmat dalam pasukan tentera, hidupnya amat susah, ibarat ayam "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".

Demi kelangsungan hidupnya, Han Xin terpaksa pergi ke tebing Sungai Huai setiap hari untuk memancing ikan. Seorang nenek yang selalu membasuh pakaiannya di tebing sungai itu, berasa terlalu kasihan melihat Han Xin yang hidup menderita itu. Jadi, pada suatu hari dia pun berkongsi makanannya dengan Han Xin. Han Xin amat terharu sehingga menitis air mata ketika menerima bantuan yang tidak disangka-sangkanya itu. Dia berkata kepada nenek itu,

"Saya pasti akan membalas budi baik nenek pada suatu hari nanti."

Nenek itu pula menjawab dengan marah:

"Kamu anak yang sihat dan kuat, tetapi tidak mampu mencari rezeki sendiri. Saya hanya berasa kasihan kepada kamu. Siapalah yang mengharapkan balasan budi daripada kamu!"

Mendengar kata-kata nenek itu, Han Xin berasa sangat malu. Cita-citanya untuk mengubah nasib dirinya terus tersemat dalam hatinya.

Pada suatu hari, seorang anak yang sekampung dengan Han Xin melihat Han Xin membawa sebilah pedang pi pinggangnya. Dia menyangka Han Xin seorang yang penakut. Maka, dia menahan Han Xin di depan pasar, lalu mencabarnya dengan berkata:

"Jika kamu berani, tikamlah saya dengan pedang kamu. Jika kamu penakut, kamu kena merangkak dari bawah kelangkang saya."

Setelah berfikir beberapa lama, Han Xin, dengan diam-diam, merangkak di bawah kelangkang orang itu.

Sebenarnya, Han Xin ialah seorang yang sangat berakal. Dia mempunyai bakat yang tinggi dalam bidang ketenteraan. Melihat situasi di seluruh negeri China masih sangat bergolak pada ketika itu, dia menumpukan perhatian sepenuhnya untuk mengkaji taktik perang dan membuat latihan silat. Pada tahun 209 sebelum Masihi, pemberontakan kaum tani untuk menentang pemerintahan Dinasti Qin telah berlaku secara besar-besaran. Han Xin telah menyertai pasukan tentera yang diketuai oleh Liu Bang, yang akhirnya menubuhkan pemerintahan Dinasti Han selepas Dinasti Qin ditumbangkan. Dengan keberanian dan kebijaksanaannya yang luar biasa, Han Xin telah menang dalam setiap peperangan. Akhirnya dia menjadi seorang hulubalang kanan yang berwibawa, setelah membuat jasa yang sangat besar kepada Liu Bang yang menjadi maharaja pertama Dinasti Han.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Kua Xia Zhi Ru" ini merujuk kepada orang atau golongan yang sanggup menerima penghinaan buat sementara waktu biarpun diminta merangkak di bawah kelangkang orang. Orang atau golongan dengan sifat ini diyakini dapat berjaya pada suatu hari nanti, baik dalam kehidupannya, mahupun dalam kerjayanya. CRI/-

Tiada ulasan: