20 November 2009

Pengarah Politeknik nafi berita Harakahdaily

PERMATANG PAUH, 18 Nov: Pengarah Politeknik Seberang Prai menafikan berita Harakahdaily bertajuk “Pengetua Politeknik Permatang Pauh ditukar” dan mendakwa berita itu tidak tepat.

Noor Azahan bin Othman dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, sepanjang dia memegang jawatan sebagai Pengarah Politeknik Seberang Perai, dia tidak pernah terlibat dalam menuntut atau berbincang bagi menuntut apa-apa tunggakan sewaan dengan mana-mana parti politik.

"Tidak ada sebarang jamuan perpisahan bagi saya atau mana-mana kakitangan pada 15 November 2009 melainkan majlis kenduri perkahwinan anak Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) yang diadakan di kuarters kakitangan Politeknik Seberang Perai.

"Saya juga tidak cenderung kepada mana-mana parti politik. Oleh itu, sebarang pernyataan yang boleh membawa gambaran bahawa saya kemungkinan cenderung kepada mana-mana parti politik adalah mengelirukan," kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau percaya, kesilapan-kesilapan dalam laporan tersebut, adalah hasil dari maklumat yang diperoleh daripada sumber-sumber yang kurang jelas.

"Kesilapan-kesilapan tersebut juga telah menjejaskan kredibiliti saya sebagai seorang penjawat awam; khususnya sebagai seorang pendidik yang telah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan jujur, adil dan penuh tanggungjawab," katanya.

Sehubungan dengan itu, pihak Harakahdaily memohon maaf kepada beliau dan menarik balik berita tersebut.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dulu cakap Utusan Malaysia siar berita menipu yang hanya nak meburukkan PAS, skang apa citer? siar berita menipu? ini ker kredibiliti wartawan Islam.. cari salah orang.. siarlah berita betul jgn tahu menyiarkan berita yg memburuk2 kan orang lain.. walaupun orang lain tu xsehaluan ngan parti PAS...