25 November 2009

Ziarah pesakit

Oleh Mohd Syamil Azhar.

Dari kanan: Datuk Husam, Haji Razman, Ustaz Ibrahim dan Haji Shukri ziarah Haji Abdul Rahim Taib yang terlantar akibat lumpuh sejak 5 tahun lalu di rumah pesakit itu di Kampung Padang Kunyit, Gerik.

GERIK: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Paduka Husam Musa yang memenuhi undangan menyampaikan ceramah di Dataran Markaz Pas Kampung Padang Kunyit dekat sini baru-baru ini, sempat menziarahi seorang pesakit di kampung itu.

Pesakit berkenaan, Haji Abdul Rahim Taib, 72, mengalami lumpuh sejak lima tahun lalu selepas kemalangan kereta meragut jiwa yang menimpa anaknya.

Abdul Rahim yang berjasa besar apabila mewakafkan tanahnya untuk pembinaan markaz, dengan keikhlasannya itu, akhirnya tertegak dan berfungsi Markaz Pas Padang Kunyit yang utuh sehingga hari ini sejak berbelas tahun lalu.

Husam selepas menyampaikan ceramahnya malam itu, dengan diiringi Exco Perhubungan Pas Negeri Perak yang juga Yang dipertua Pas Lenggong, Haji Razman Zakaria, berkesempatan menziarahi Abdul Rahim.

Turut mengiringi Husam ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Perak, Ustaz Zulkifli (Ibrahim) Zakaria dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Haji Shukri Ahmad.

Terdahulu, Husam, Zulkifli dan Razman menyampaikan ceramah kepada hampir 1000 pendengar yang memenuhi khemah di dataran markaz walaupun tapak ceramah digenangi air akibat hujan lebat sebelumnya.

Tamat.

Tiada ulasan: