20 Disember 2009

Pakatan sedang terjemahkan dasar kebajikan rakyat


3 Muharram 1431
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 19 Dis: Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) hari ini sedang menterjamahkan usaha mereka untuk mewujudkan negara yang demokrasi dan mendahulukan kebajikan rakyat melalui konvensyen yang sedang berlangsung.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sewaktu berucap dalam pidato dasar Pakatan Rakyat pagi tadi menegaskan tujuh perkara melibatkan urus tadbir negara mesti diubah dan diperbaharui.

Antaranya ialah mempertingkat integriti Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dengan meletakkkan badan itu di bawah kuasa parlimen.
Beliau juga menyarankan agar pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SPRM dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

"SPRM harus dipantau oleh Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen secara bipartisan. Pengerusi dan ahli lembaga pengarah SPRM mesti dillantik oleh Yang Dipertua Agong selepas calon yang ditawarkan itu selesai menjalani sesi soal jawab dan soal selidik oleh Ahli jawatankuasa Khas Parimen.

"Tugas Perdana Menteri hanya mencadangkan nama-nama mereka," katanya.

Menurut Salahuddin juga, terdapat kelemahan dalam penggunaan kuasa eksekutif di negara ini yang menyebabkan penindasan terhadap rakyat.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Jabatan Hisbah ditubuhkan di peringkat pusat dan negeri.

"Selain daripada parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mahkamah, perlu diwujudkan ruang untuk rakyat menuntut keadilan.

"Tujuh perkara mesti kita urustadbir dengan baik. InsyaAllah jika Pakatan diberi peluang mentadbir negara ini, kita akan mentadbir dengan adil dan saksama kepada semua kaum di Malaysia," katanya disambut tepukan gemuruh.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua pula berpandangan, masih banyak cara yang boleh digunakan kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara selain mengenakan pelbagai jenis cukai kepada rakyat.

Beliau yang memfokuskan mengenai ekonomi dalam pidatonya merujuk kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan pada tahun hadapan.

Beliau menegaskan, cukai berkenaan ternyata akan membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah meskipun kerajaan mengatakan ianya tidak akan membebankan rakyat.

"Ekonomi Malaysia kian merosot. BN yang membazirkan wang rakyat kini telah kehabisan wang. Sekarang mereka hendak kenakan cukai baru yang menambah bebanan rakyat.

"Pakatan akan menubuhkan model ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan," tegasnya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dalam pidatonya yang menyentuh mengenai keadian sosial dan pembangunan insan berkata, Pakatan akan memberi tumpuan kepada usaha membaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.

Pakatan, katanya akan menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta mengelakkan diskriminasi kaum.

"BN telah memecahkan perpaduan kaum di negara kita melalui tindakan-tindakan mereka yang mewujudkan kemarahan orang Islam dan orang bukan Islam. Pakatan akan mengembalikan perpaduan kaum dengan mewujudkan sikap baik sangka antara kaum," katanya.

Pidato dasar pakatan Rakyat pagi tadi dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khaid Ibrahim.

Tiada ulasan: