05 Disember 2009

Tohmahan terhadap Nik Aziz punya agenda tertentu - Mahfuz

ALOR SETAR, 3 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan sesetengah pihak cuba mengganggu-gugat kedudukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau mempunyai agenda tersendiri.

Menurut beliau lagi usaha yang sedang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) ini adalah sebagai salah satu tindakan untuk melihat PAS berada dalam keadaan kucar-kacir.

"Tindakan mereka terhadap Nik Aziz tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada beliau. Malah ahli-ahli PAS akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepada beliau bagi memastikan tidak ada pihak yang dapat menjatuhkannya.

"Kekuatan dan kesepaduan yang ada dalam PAS agak sukar untuk mereka daripada BN untuk mengganggu-gugat kedudukan di negeri Kelantan," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pemimpin Umno sepatutnya mencari kaedah dan jalan bagaimana untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti mereka dan juga menumpukan tumpuan bagaimana untuk menunaikan janji yang telah mereka berikan kepada rakyat ditepati.

"Mereka sepatutnya memikirkan cara yang terbaik untuk memulihkan kepercayaan rakyat yang sudah jauh terhakis kepada mereka dan bukannya dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap parti lawan.

"Saya juga berkeyakinan mereka mempunyai agenda tertentu bagi menawan semula Kelantan. Sehubungan itu adalah tidak menghairankan sekiranya mereka membuat pelbagai tohmahan bagi mengeruhkan suasana yang ada di negeri Kelantan," katanya lagi.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sebenarnya tindakan ini mahu menutup sengketa dalaman UMNO itu sendiri, dengan krisis MCA,pendedahan Mahathir Umno busuk hingga ke usus dan pelbagai lagi. Kalau setakat nak usik Tok Guru tak payah la... Parti sendiri kucar kacir sibuk nak ajar Tok Guru pulak.. Wahai UMNO... Ingatlah masa keruntuhan UMNO telah tiba.. Bertaubatlah