19 Januari 2010

Perahu naga terbalik, seorang lemas, 4 hilang

03 Safar 1431H

Seorang pelajar ditemui lemas manakala empat lagi masih hilang apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak di kawasan perairan kira-kira 500 meter dari Pengkalan Weld di Pulau Pinang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Gan Kong Meng berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi ketika 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ling, Air Itam menjalani latihan mendayung untuk perlumbaan perahu naga.

"Kesemua pelajar terbabit berusia antara 16 dan 17 tahun. Setakat ini seorang ditemui mati lemas dan identitinya belum dikenalpasti," katanya kepada pemberita.

Gan berkata daripada 18 pelajar yang selamat, 12 daripada mereka sempat berenang ke pantai berhampiran manakala seorang lagi diselamatkan di kawasan laut.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis dimaklumkan bahawa beberapa pelajar terbabit tidak memakai jaket keselamatan.

Kejadian dikatakan berpunca apabila pelajar terbabit cuba membelok perahu naga itu tetapi ia terbalik dipukul ombak.

Pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan masih meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang.

- Malaysiakini/-

1 ulasan:

Brahim Nyior berkata...

Malang memang tak berbau, tapi berlatih tanpa jaket keselamatan, memang menempah maut, apatah lagi dgn ombak yang tak menentu.

Moga masih ada peluang untuk menemui mereka yang selamat.