03 Februari 2010

Beri kuasa rakyat WP tentukan hala tuju pentadbiran

18 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyeru agar rakyat Wilayah Persekutuan (WP) diberikan ruang dan kuasa untuk menentukan dasar dan halatuju pentadbiran melalui dialog dan rundingan awam yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Ini, katanya kerana rakyat Malaysia yang tinggal di luar kawasan WP berpeluang untuk mengundi wakil kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Ini tidak dinikmati oleh 1.5 juta rakyat di kawasan WP yang tidak berpeluang untuk menentukan kepimpinan mereka di peringkat wilayah,” ujarnya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-36, hari ini.

Ini juga, tambahnya bermakna RM2.12 bilion wang peruntukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak dipantau oleh mana-mana wakil rakyat di peringkat WP.

Menurutnya, ia bercanggah dengan prinsip demokrasi yang menetapkan penyertaan rakyat sebagai tonggak kepada sebuah pentadbiran yang telus dan adil.

Beliau juga mengajak rakyat meraikan keberanian mahasiswa Universiti Malaya memperjuangkan sistem pilihan raya yang lebih telus dalam kampus baru-baru ini.

“Saya turut berasa kesal dengan penyelewengan kuasa dan penggunaan e-undi yang berlaku dalam pilihan raya kampus baru-baru ini.

“Saya menggesa pihak pentadbir universiti agar lebih menghormati hak mahasiswa untuk berpolitik melalui wadah demokratik di kampus dengan bebas dan saksama,” katanya.

Nurul Izzah juga kesal dengan penahanan sembilan mahasiswa universiti di kawasan Jalan Raja Laut, Wilayah Persekutuan, baru-baru ini kerana berhimpun dan berarak secara aman.

Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, beliau yakin dan percaya bahawa mahasiswa kampus harus diberikan peluang dan ruang untuk menyuburkan demokrasi dan hak asasi di kampus ke arah Malaysia yang lebih bebas dan harmoni.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: