20 Februari 2010

Saksi pertama beri keterangan dalam kes Kugan

5 Rabiul Awwal 1431H.

Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini yang mendengar perbicaraan kes kematian seorang tahanan, A Kugan, bahawa pihak polis berhak menyiasat sesiapa sahaja yang disyaki terbabit dalam sesuatu kes jenayah.

ASP Rodney Pasla Harris, 31, dari Balai Polis Taipan, Subang Jaya, berkata kebiasaannya siasatan akan bermula selepas mendapat kebenaran daripada pegawai penyiasat yang mengendalikan sesuatu kes

Rodney yang berkhidmat di cawangan jenayah berat menjelaskan bahawa bilangan anggota yang terbabit dalam soal siasat untuk seseorang suspek bergantung kepada keseriusan kes yang dilakukan oleh individu tersebut.

Balai polis tiada lokap

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abas, sama ada Balai Polis Taipan mempunyai lokap, Rodney berkata balai polis berkenaan tidak mempunyai kemudahan itu.

"Kebiasaannya suspek ditahan di lokap Balai Polis Puchong Jaya dan mereka akan dibawa ke Balai Polis Taipan untuk disoal siasat dan kemudiannya akan dihantar semula," katanya.

Rodney adalah saksi pertama memberi keterangan dalam kes kematian Kugan yang mati dalam tahanan polis beberapa hari selepas ditahan pada 15 Jan tahun lepas kerana disyaki terbabit dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V Navindran, mengaku tidak bersalah pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Sesyen yang sama terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23.

Navindran yang diwakili peguam bela, Datuk PM Nagarajan, didakwa melakukannya di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada 7 pagi, 16 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan, Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam Zainuddin yang mendengar perbicaraan itu akan melawat Balai Polis Taipan, Subang Jaya, Isnin depan bagi membolehkan beliau melihat tempat kejadian.

Perbicaraan bersambung esok di mana seorang doktor dan jurugambar polis akan memberi keterangan.- Bernama

Tiada ulasan: