19 Mac 2010

Protes akhbar Sweden hina Nabi ditunda ke 26 Mac

2 Rabiulakhir 1431H

Perhimpunan aman membantah akhbar di Sweden yang menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW, yang dijadual diadakan Jumaat ini di depan Kedutaan Sweden, di Kuala Lumpur, telah ditunda kepada 26 Mac depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasrudin Hassan berkata, bagaimanapun masa dan tempatnya dikekalkan mengikut jadual.

Pertukaran tarikh tersebut, tambahnya disebabkan oleh masalah teknikal dan perkara-perkara penting yang tidak dapat dielakkan.

DPPP, kata Nasrudin, mengharapkan semua pihak, sama ada Islam atau bukan Islam, akan menghadiri perhimpunan tersebut.

“Umat Islam digalak bersolat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur dan selepas itu berarak bersama-sama bagi menunjukkan soladiriti dan kemarahan umat Islam terhadap pencabulan agama Islam itu,” katanya sambi menambah perbuatan akhbar di Sweden itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bererti menghina agama Islam dan umat Islam keseluruhannya. Kerajaan Sweden patut mengambil pengajaran dari Denmark yang pernah membuat penghinaan yang sama terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Akibatnya umat Islam seluruh dunia bangkit membantah dan memberi ancaman keras terhadap Denmark. Kini Sweden mengulangi kesilapan yang sama, dan seakan-akan mahu mengajak umat Islam berperang,” tambahnya.

Justeru, kata Nasrudin, umat Islam yang kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW, serta merasa tercabar dengan penghinaan terhadap Baginda itu, diseru bersama-sama menghadiri perhimpunan aman tersebut.

Katanya, beliau akan memimpin perhimpunan aman itu bersama-sama ahli jawatankuasa kerja DPPP yang lain.

'Selain itu, pimpinan PAS pusat serta pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan lain-lain, turut menyatakan komitmen mereka untuk menghadiri perhimpunan ini,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad SAW pada badan anjing, direka oleh pelukis Sweden Lars Vilks, 63, dan dikemukakan sebagai bahan pameran ke sebuah pusat warisan budaya Sweden.

Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.

Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama sebuah editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara yang membawa kepada bantahan negara-negara Islam dan Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.

Rabu lepas, tiga akhbar Sweden menyiarkan semula karikatur itu.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: