14 Mac 2010

Wei Ru Lei Luan : Cemas dan Berbahaya Seperti Timbunan Telur


Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu, iaitu antara tahun 770 hingga tahun 476 Sebelum Masihi, terdapat seorang raja di negeri Jin yang bernama Jinlinggong. Baginda bukan sahaja selalu bersikap acuh tak acuh terhadap urusan negara, malah menggunakan apa jua cara untuk mendapatkan kesenangan bagi dirinya sahaja. Pada suatu hari, raja Jinlinggong terfikir hendak membina sebuah rostrum bertingkat sembilan supaya baginda dapat melihat seluruh negerinya dari rostrum itu. Baginda mengeluarkan arahan sambil berkata:

"Siapa sahaja yang menghalang projek beta ini, akan dibunuh tanpa bicara."

Dengan demikian, ramai rakyat jelata, baik lelaki mahupun wanita, yang telah dikerah untuk membina rostrum yang dicita-citakan oleh raja Jinlinggong itu. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun yang berani tampil untuk memberikan nasihat kepada raja tersebut.

Melihat begitu banyak tenaga dan wang dihabiskan untuk projek itu, seorang pegawai yang bernama Xunxi telah bergegas ke istana untuk mengadap raja Jinlinggong. Raja Jinlinggong memerintahkan tenteranya supaya sedia dengan panah terlebih dahulu, dan membidik panah masing-masing ke arah Xunxi. Sebaik sahaja Xunxi membuka mulut untuk menasihati baginda, tentera tersebut diperintahkan segera melepaskan anak panah mereka.

Xunxi yang berada dalam keadaan yang begitu cemas itu, berkata dengan suara yg tenang:

"Hamba datang untuk mengadap tuanku, bukanlah untuk memberikan apa-apa nasihat kepada tuanku. Hamba hanya mahu mempersembahkan satu pertunjukan yang hebat untuk tuanku. Hamba dapat menimbunkan 12 biji catur, lalu melonggokkan lagi 9 biji telur ke atas catur tersebut, tetapi timbunan itu tidak akan runtuh."

Melihat raja itu seolah-olah berminat kepada pertunjukan yang disebutnya tadi, Xunxi pun mula menimbunkan 12 biji catur, lalu melonggokkan telur sebiji demi sebiji ke atas timbunan catur tersebut. Melihat timbunan telur itu hampir runtuh , raja Jinlinggong berteriak dengan kuat:

"Berbahaya! Berbahaya!"

Xunxi menghentikan pertunjukannya, sambil berkata:

"Jangan bimbang, tuanku! Banyak lagi hal yang lebih cemas dan berbahaya daripada timbunan telur ini."

Raja Jinlinggong bertanya:

"Hal apa yang lebih cemas lagi?"

Xunxi menjawab dengan serius:

"Tuanku mungkin tidak sedar bahawa negeri kita sudah berada di ambang kehancuran. Begitu banyak tenaga kerja telah dikerahuntuk membina rostrum itu mengikut perintah tuanku. Tanah menjadi tandus dan gersang. Duit habis begitu sahaja. Negeri-negeri jiran sudah bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap kita. Jika mereka bertindak, bukankah negeri kita akan menghadapi situasi yang lebih cemas dan berbahaya?"

Mendengar kata-kata Xunxi itu, raja Jinlinggong insaf dengan kesalahan yang dilakukannya. Maka, baginda segera mengeluarkan perintah untuk membatalkan projek pembinaan rostrum yang tinggi itu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Wei Ru Lei Luan" atau "Cemas dan Berbahaya Seperti Timbunan Telur" ini, digunakan untuk menggambarkan situasi yang sangat cemas dan genting, seperti timbunan telur yang akan runtuh dan pecah pada bila-bila masa sahaja. Ia membawa maksud yang hampir sama dengan maksud peribahasa "seperti telur di hujung tanduk". CRI/-

3 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

Saya tertarik kisah2 asal usul sejarah lama negeri Cina yang YB selitkan. Nabi kita pun ada berpesan tuntutlah ilmu ke negeri Cina.

Sesungguhnya Benua Cina kaya dengan sejarah silam yang agung yang boleh dibuat panduan hingga akhir zaman.

Terima kasih YB kerana sudi mempamerkan sejarah untuk dikongsi oleh kami orang2 melayu dan panduan pada generasi akan datang.

Unknown berkata...

Berbeza dari biasa..Nice YB ;-)

Unknown berkata...

Saya sangat tertarik dengan sejarah China silam terutama sejarah Romance of The Three Kingdoms yang menampilkan watak sejarah seperti Liu Bei, Cao Cao dan Sun Quan dan peristiwa Perang Chi Bi. Terima kasih YB kerana membuka minda saya lebih luas lagi dalam sejarah China.