12 Jun 2010

Muslimat terus dukung dasar kerjasama Politik

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zulaikha Zulkifli

Dewan Muslimat PAS akan terus mendukung dasar tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dilaksanakan oleh PAS pusat bagi mengukuhkan penglibatan dan sumbangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, penyokong dan pendukung PAS kini tidak lagi terbatas atau tertumpu pada sesuatu golongan sahaja.

“Kita akan bersama-sama mengukuhkan penglibatan dan sumbangan DHPP dan bersama-sama berperanan dalam Pakatan Rakyat."Kita telah menyaksikan perjuangan PAS telah memecahkan tembok dan melampaui sempadan kaum, budaya dan agama. 'PAS for all' sudah hampir menjadi kenyataan.

"Keyakinan dan sokongan bukan Islam atau belum muslim terhadap kita di dalam DHPP atau NGO di luar akan diperteguhkan," katanya dalam teks ucaptamanya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata, dialog antara budaya dan agama dengan pelbagai golongan dan etnik minoriti bukan Islam akan diadakan bagi mempereratkan hubungan.

Tambahnya, muslimat akar umbi akan diminta mendekati dan menyantuni kalangan minoriti yang tertindas serta melebarkan ruang dakwah Islamiyah.

Beliau berkata, Dewan Muslimat akan terus menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama gerak kerja terancang.

"Agenda membantu rakyat miskin ini akan berterusan tanpa mengira musim. Adalah menjadi tuntutan Islam untuk kita membantu golongan miskin dan tertindas.

"Kemiskinan yang berleluasa terutama di luar bandar dan penempatan peneroka di pinggiran bandar bukan saja dalam bentuk miskin harta malah juga miskin aqidah," ujarnya.

Beliau turut membaca sepotong ayat al-Quran dari surah Al-Maidah, ayat 48, yang membawa maksud supaya berlumba-lumba membuat kebajikan (beriman dan beramal soleh).

Justeru, katanya, Muslimat akan bersama-sama meneruskan misi dakwah dan kuliah-kuliah pengajian awam bagi membantu golongan miskin keluar dari kejahilan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: