24 Ogos 2010

Pengetua 'rasis': Pasukan petugas tak serius, kata DAP

13 Ramadhan 1431 H

DAP menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang penubuhan pasukan petugas bagi menyiasat kenyataan seorang pengetua yang didakwa rasis sebagai tidak masuk akal "selepas berdiam diri selama seminggu".

Setiausaha publisitinya Tony Pua berkata, keputusan itu jelas merupakan pertimbangan yang datang kemudian setelah Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengeluarkan kenyataan bahawa isu itu "selesai" dan "disebabkan salah faham".

"Malangnya, orang awam tiada keyakinan langsung bahawa pasukan petugas itu mampu memberikan hasil yang memuaskan kerana menteri sendiri yang menetapkan kaedah perlaksanaannya," kata Tony (kanan) yang jug ahli parlimen Petaling Jaya Utara.

Muhyiddin semalam mengarahkan sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor secara terbuka menghamburkan ucapan rasis pada pelajar.

Beliau berkata, pasukan petugas itu dibentuk bagi mendapatkan fakta berkaitan dan merancang tindakan lanjut ekoran emosi pelbagai pihak semakin bergelora.

Menurut laporan polis yang tersebar, pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Siti Inshah Mansor didakwa mengeluarkan kata-kata berkenaan pada 12 Ogos ketika mengulas masalah disiplin pelajar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tony berkata, berbeza dengan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran masih enggan mengecam kenyataan itu.

"Tindakannya, atau dalam kes ini, tiada tindakan, terus merosakkan konsep 1Malaysia yang dicadangkang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mempromosikan perpaduan nasional," katanya.

SABM: Laporan harus boleh diteliti orang awam

Tony juga mempertikaikan kenapa pasukan petugas yang dibentuk itu tidak menetapkan sebarang tarikh akhir bagi melengkapkan siasatannya.

Katanya, ini menunjukkan timbalan perdana menteri tidak serius menyelesaikan masalah ini daripada akar umbinya dengan cepat terhadap kakitangannya.

"Pembentukan pasukan petugas hanya bertujuan menenangkan sementara kemarahan dan kesedihan rakyat Malaysia sementara kementerian cuba membeli masa bagi 'menyelesaikan' isu ini untuk kali kedua," kata Tony lagi.

Tony juga membangkitkan persoalan sama ada kes terbaru melibatkan isu yang sama di Sungai Petani Kedah akan turut membentuk lebih banyak kali pasukan petugas bagi menyiasatnya.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, sebuah kumpulan Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) pula mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas yang diharapkan menjalankan siasatan yang adil, telus serta terperinci.

SABM juga berharap, laporan pasukan tersebut boleh diteliti oleh pihak awam.

"Kami menyeru pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan petugas tersebut," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

"Kami menyeru setiap warganegara Malaysia untuk menyampaikan pesanan yang jelas bahawa kita sebagai masyarakat yang sivil dan bertamadun, tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk
diskriminasi perkauman yang dilihat agak ketara sejak kebelakangan ini."

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

Dalam perkhidmatan awam ada dua bentuk peraturan dan undang-undang yang digunapakai; 1 peraturan untuk golongan bukan tadbir aka kuli-kuli batak; 2 peraturan untuk golongan tadbir. Dalam hal ini pengetua 'rasis' tersebut tergolong dalam kumpulan ke 2, maka secara otomatik pengetua ini akan mendapat perlindungan sepenuhnya dan usaha tersebut telah dimulakan oleh ketua pengarah pelajaran apabila belum apa-apa dah kata perkara tersebut selesai. Sekiranya perkara yang berlaku melibatkan seorang guru biasa, pendek kata berasaplah kepala dan bontot guru tersebut kena torture pada bulan puasa nih.