02 Oktober 2010

Pengarah p’raya umpama kata dua buat Razaleigh

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 30 Sept: PAS menyifatkan perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya Umno dan BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas sebagai kata dua kepadanya yang menyokong tuntutan royalti Kerajaan PAS Kelantan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, jelas ianya tindakan terdesak Umno kerana ternyata parti itu amat bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula Dun berkenaan.

Ini, katanya walaupunUmno tahu Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan perlantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen.

PAS, tambahnya yakin perlantikan Razaleigh juga membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada veteran Umno itu sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada parti itu.

“Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuang untuk kepentingan Umno,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Begitupun, ujarnya, PAS yakin Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan.

Tambahnya, PAS tiada masalah jika beliau menerima perlantikan itu tetapi mahu Razaleigh menggunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

“Jika dalam PRK nanti isu royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan?

“Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno BN demi kepentingan rakyat nanti,” soalnya.

Justeru itu, katanya PAS menyeru agar Tengku Razaleigh mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PAS jika benar beliau berjuang untuk rakyat Kelantan.

Tambahnya, sebelum ini di Manek Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengarah PRK namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal di tangan PAS.

Akibat kegagalan itu, katanya, Mustapa dinafikan hak untuk menjadi Pengarah Pilihan raya Dun Galas walaupun beliau adalah pengerusi perhubungan negeri dan menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan.

Menurutnya, Dun Galas di dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh di mana Umno menumpang pengaruhnya untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya umum yang lepas Allahyarham Chek Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Katanya, walaupun belum sampai sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN.

Bagi PAS, kata Idris perlantikan Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas pilihan raya umum 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan Kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti dari Kerajaan Persekutuan di bawah BN.

“Malah beliau yang juga mantan Pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan Kelantan kepada Petronas.

“Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat,” kata Idris lagi.

Harakahdaily/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YES.. bukti rakyat didahulukan vs UMNO diutamakan... cakap salah, tak cakap pun salah.

Tanpa Nama berkata...

Kenapa tak lantik ROSMAH MANSOR je jadi pengarah pilihan raya tu? kan sekarang ni apa-apa program dia orang NO 1 kedepan, FIRST LADY la katakan, ya tak?

UMNO DALAM DILEMA, BERI BOLA KPD KU LI berkata...

PELIK JUGAK DGN TINDAKAN UMNO NIH YER, ADAKAH CERDIK ATAU BODOH ATAU UMNO RASA TAK BERPELUANG MENANG (INI KAWASAN KU LI), ATAU UMNO MERASAKAN ISU ROYALTI MINYAK AKAN MENGUASAI PILIHANRAYA KECIL INI...MUHYIDDIN MUNGKIN TAKUT/MALU MUKA UTK DTG KERANA MASA PILIHANRAYA MANEK URAI DULU PERNAH BERJANJI UTK MEMBAWA CEO PETRONAS UTK MENERANGKAN KEDUDUKAN 3 BATU NAUTIKA...ATAU MUNGKIN UMNO SUDAH BERLEPAS TANGAN, TIDAK MAHU LAGI BERJUANG DLM PILIHANRAYA KECIL, SEBALIKNYA AKAN BERJUANG PADA MASA PILIHANRYA UMUM NANTI, PRU-13 IAITU TSUNAMI KE-2 NANTI...

APA2PON SEMUANYA TERLETAK DI TANGAN KU LI. BOLA ADA DI KAKI KU LI. ADAKAH KU LI AKAN MEREMBAT KE DLM GOL UMNO...

MENARIK JUGA UTK DIPERBINCANGKAN IALAH PERANAN PERKASA DLM P/R KECIL INI. NAK DENGAR ULASAN KETUA PERKASA, IBRAHIM ALI TENTANG ROYALTI...