15 September 2010

PKR Kedah: 9 tanding, 3 menang tanpa tanding

5 Syawal 1431H.


ALOR SETAR, 14 Sept: Pemilihan bagi merebut jawatan yang dipertandingkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri Kedah khususnya di Cabang Merbok menyaksikan satu lawan satu bagi kerusi ketua dan timbalan ketua.

Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din yang mengetuai Cabang Merbok akan dicabar oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri, Saiful Izham dalam pemilihan yang akan diadakan pada 17 September ini.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, S. Manikumar akan ditentang oleh Mokhtar Ismail bagi merebut kerusi Timbalan Ketua Cabang.

Daripada 12 Cabang PKR yang ada di negeri Kedah, 9 cabang ditandingi semua jawatan yang dipertandingkan.

Manakala 3 cabang yang ketuanya menang tanpa bertanding ialah Langkawi yang diterajui oleh Haji Wan Salleh Wan Isa, Pokok Sena oleh Cheung Kai Yen dan Sik yang dipimpin oleh Habib Danial.

Pemilihan yang dilaksanakan oleh PKR kali ini merupakan pertama kali ianya diperkenalkan dalam negara dengan memberi peluang sepenuhnya kepada semua anggota parti bagi memilih pimpinan.

Namun begitu bagi Exco Kerajaan Negeri Kedah, S. Manikumar berpendapat pemilihan yang diperkenalkan buat pertama kalinya ini mempunyai implikasi positif dan negatif.

"Adalah menjadi harapan pihak parti akan membuat kajian terperinci selepas pemilihan ini nanti. Kemungkinan sistem ini akan berjaya dalam tempoh 10 tahun yang akan datang atau sebaliknya.

"Hasil kajian dari sistem ini kelak perlu dijadikan panduan samada ianya wajar untuk diteruskan pemilihan dengan cara sebegini atau sebaliknya. Sekiranya ia memberi banyak manfaat maka eloklah diteruskan,"ujarnya lagi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: