06 Oktober 2010

Penceramah biadap, Umno Besut digesa mohon maaf

26 Syawal 1431 H
Oleh: Khairul Azlam Mohamad

BESUT, 4 Okt: PAS Kawasan Besut memberikan tempoh 24 jam kepada Umno bahagian memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan sebagai Tok Guru ‘gilo’ (gila).

Ini kerana penceramah jemputan Umno bahagian berkenaan dalam dalam ceramahnya bertajuk ‘DAP Anti Islam’ di Padang Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh pada 1 Oktober lalu menggelarkan Mursyidul Am PAS itu ‘gilo’ berulang kali.

Sekiranya, Umno Bahagian Besut gagal berbuat demikian sehingga jam 12 tengah hari 5 Oktober (Selasa), maka PAS kawasan tidak akan teragak-agak mendapatkan nasihat peguam bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini berkata, pihaknya telah meneliti kandungan ucapan penceramah jemputan itu, Abdullah Sa’amah yang dianggap biadap.

“Kami telah mengambil kira dan meneliti laporan kandungan ucapan yang dibuat oleh penceramah jemputan, Abdullah Sa’amah yang memaki hamun, mencerca, menghina dan menggelarkan Menteri Besar Kelantan itu dengan kalimah yang amat biadap dan penuh prejudis.

“Beliau (Abdullah) menggelarkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Tok Guru ‘gilo’ (gila) dan diulang berkali-kali,” katanya.

Menurutnya lagi, situasi tersebut tidak mungkin berlaku sekiranya penganjur program tidak mewarnai emosi serta pemikiran penceramah ke arah suatu bentuk ketegangan kepada isu keagamaan dan perkauman.

Justeru itu, katanya PAS Kawasan Besut juga akan menghantar nota bantahan kepada pengurusan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPN) kerana membenarkan premis sekolah digunakan oleh parti politik.

Menurutnya, parti politik berkenaan secara jelas mempunyai tendensi serta kecenderungan memupuk budaya liar dan samseng di kalangan masyarakat setempat.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

Dulu mereka kata PAS berceramah penuh maki hamun,nah! sekarang Allah bayar cash mereka yang melakukan nya. Apa pulak alasan puak puak nie (UMNO) termasuk bloger bloger yg.memenohi penulisan mereka dgn cacian penghinaan melangar adat tatasusila,mau pun Agama.Mereka sedang menjilat kahak(air ludah pekat) mereka.Allah maha mengatahui lagi Bijaksana.