12 Oktober 2010

Pengangguran dan Modal Insan Malaysia

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Shaharul Shafie

Saya terbaca satu artikel berita bertajuk ‘Rakyat kita diajak pulang berkhidmat’ di dalam Mingguan Malaysia hari ini (10/10/2010) yang di dalamnya menyebut kerajaan memanggil pulang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk pulang ke dalam negara ini untuk bekerja.

Di dalam laporan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam ucapannya di Syedney itu kepada lebih 500 pelajar Malaysia di Australia dan New Zealand yang mengajak rakyat Malaysia balik ke Malaysia bagi menjayakan program transformasi kerajaan jika mereka betul-betul cintakan negara sendiri.

Kadar pengangguran mahasiswa semakin meruncing
Tujuan saya menulis ini bukan untuk mengulas ucapan berkenaan. Hanya saya mahu rayu di sini ialah para pelajar Malaysia yang sedang belajar di sana, biarlah bekerja untuk beberapa tahun di sana, timba pengalaman dan kumpul wang.

Untuk mereka yang sudah lama bekerja di sana, anda boleh balik tetapi balik dengan tukaran wang hasil simpanan di sana dan membuka perniagaan di negara ini.

Dengan cara ini, anda boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada para pengganggur yang sedia ada di dalam Malaysia ini yang semakin hari semakin meningkat apabila kerajaan gagal mengawal ’kilang-kilang’ yang ada dalam negara ini kerana menghasilkan berpuluh-puluh ribu produk bernama mahasiswa.

Oleh kerana dasar pengilangan graduan secara besar-besaran selepas kerajaan membuka universiti-universiti awam baru yang asalnya bermula sebagai Kolej Universiti, kelulusan kerajaan membuka banyak universiti dan kolej swasta dan penambahan jumlah kemasukan pelajar di IPTA , produk graduan yang dikeluarkan dengan pukal kini nampaknya berlebihan jika dibandingkan dengan peluang pekerjaan yang wujud dalam industri pekerjaan hari ini.

Memanglah kita alu-alukan usaha kerajaan bagi memberi lebih banyak peluang pendidikan tertiari kepada rakyat Malaysia tetapi perancangan untuknya gagal memastikannya sejajar dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Terus-terang saya boleh dikatakan, peluang pekerjaan yang ada di Malaysia terlalu sedikit walaupun petunjuk ekonomi makro menunjukkan pertumbuhan ekonomi meningkat sejak setahun lalu. Ini kerana hasil-hasil yang menyumbang kepada kenaikan pertumbuhan ekonomi ini datangnya dari syarikat-syarikat besar yang tersedia ada dalam negara yang mencatatkan keuntungan.

Antaranya ialah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Maybank, CIMB, Sime Darby, Proton, UEM dan sebagainya. Syarikat-syarikat milikan korporat yang besar lain adalah seperti Genting, Public Bank, Hong Leong, Maxis, Berjaya Group dan banyak lagi.

Perkongsian hasil ekonomi pulih hari ini tidak sekata
Syarikat-syarikat gergasi inilah yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara buat masa sekarang.

Hasilnya, hanya segelintir rakyat Malaysia sahaja yang terus menikmati pertumbuhan ekonomi. Mereka adalah pemimpin, pegawai kanan, dan golongan pekerjanya sahaja.

Namun begitu, sebesar mana syarikat-syarikat yang disebutkan ini, mereka juga tidak mempunyai keperluan untuk menambah para pekerja di dalam pasukannya walaupun ekonomi semakin baik semata-mata untuk mengurangkan kadar pengangguran negara.

Manakala bagi sektor awam pula tidak terjejas tidak kira semasa ekonomi meleset atau menaik.

Ini kerana pendapatan mereka dan perlindungan ke atas mereka dan keluarga dijamin oleh kerajaan.

Syarikat-syarikat bermodal rendah, sederhana dan kecil dalam Malaysia masih banyak yang gulung tikar dan banyak mendapat kesan buruk di bawah pentadbiran Najib.

Ini kerana usaha bagi membantu golongan usahawan nampak kurang berjaya dan serius kerana dasar-dasar kerajaan kini yang kurang dan tidak mesra usahawan. Semasa ekonomi Malaysia makmur pada tahun-tahun 2001-2005, produktiviti dan perkongsian ekonomi oleh syarikat-syarikat sebeginilah banyak membantu memakmurkan kehidupan hampir setiap rakyat.

Tetapi tidak lagi hari ini meskipun ekonomi pada dasarnya kembali pulih pada mata pemerintah sahaja.

Kesan kurang penumpuan sektor keusahawanan kecil dan sederhana
Ini secara jelasnya menampakkan kesannya apabila sebuah kementerian untuk perihal keusahawanan dibubarkan oleh pentadbiran Najib.

Syarikat-syarikat besar mengecapi kekayaan negara sesama mereka dan insentif-insentif kepada syarikat kecil dan sederhana ini tidak sampai dengan sepatutnya walaupun fungsi-fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan diserahkan semula kepada beberapa kementerian.

Langkah membubarkan kementerian ini sebelum ini pernah disifarkan sebagai langkah kembali ke belakang yang akhirnya membantutkan pembangunan usahawan yang rata-rata melibatkan orang Melayu yang berjinak-jinak dengan perniagaan.

Tumpuan kepada projek-projek mega oleh pentadbiran Najib ini saling tidak tumpah dengan saat negara di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mungkin ketika Tun dahulu, memang wajar dilakukan program-program fizikal tetapi kesinambungan modal insan Tun Abdullah selepas itu sewajarnya diteruskan selari bersama-sama dengan program-program mega Najib yang sedang dirancang.

Walaupun masih ada insentif dan galakan kepada usahawan disediakan oleh kerajaan dan bank-bank tempatan yang menawarkan geran pinjaman, namun usaha yang dilakukan seperti melepaskan batu di tangga sahaja dan pelan komunikasi mengenainya tidak sampai kepada rakyat.

Bank-bank kini lebih gemar memberikan pinjaman dan melabur di dalam syarikat-syarikat bermodal tinggi dan mana-mana projek kerajaan yang diusahakan secara tender dan swasta yang dijamin oleh perbendaharaan Malaysia.

Mereka tidak berminat sangat dan malah cuba mengelak memberikan jumlah pinjaman yang sedikit dipinta oleh usahawan. Ini adalah kerana pinjaman itu memberikan pulangan rendah kepada bank tersebut.

Kita lihat sahaja pada skim TEKUN yang pernah suatu masa dahulu ketika pentadbiran Pak Lah yang banyak membantu usahawan tetapi sekarang tiada lagi peruntukan melaluinya mudah untuk diberikan kepada rakyat.

Jika adapun sekarang, TEKUN menjadi kenderaan politik bagi mencari sokongan rakyat. Kita seringkali mendengar pemohon perlu mendapatkan sokongan wakil rakyat Umno sebagai ’syarat’ tidak tertulis untuk permohonannya diluluskan tanpa syarat.

Sejauh kebenarannya tidak dinafikan. Tetapi kini, TEKUN tidak lagi berdaya beroperasi kerana kekurangan peruntukan daripada kerajaan pentadbiran Najib.

Namun yang menyedihkan, alasan yang selalu digunakan oleh kerajaan ialah TEKUN kekurangan wang kerana ramai usahawan tidak membayar balik pinjaman.

Persoalannya, bagaimana dengan peruntukan tahunan berterusan dari kerajaan? Bukankah kerajaan mampu memperuntukkan wang yang banyak jika benar-benar ingin membantu usahawan kecil dan sederhana ini?

Tiada ulasan: