12 Oktober 2010

Persepsi Israel terhadap Palestin

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah

Israel tidak lagi memandang Palestin sebagai ancaman keamanan mereka, begitulah pandangan umum rakyat Israel yang dilaporkan dalam Majalah Times keluaran September 2010 yang lalu.

Menurut Tamar Hermann , ahli kaji sains politik Israel, rakyat Palestin bukan lagi satu ancaman strategik yang perlu dikhuatiri, malah mereka hanyalah pengganggu biasa sahaja.

Bukan ancaman strategik memberi maksud Palestin bukan lagi ancaman yang mampu merobohkan regim Zionis itu, akan tetapi mengapa paranoid masih melanda warga Barat dan Israel sehingga mereka masih mengekalkan falsafah fikir islamofobia?

Ataupun ungkapan Hermann dan beberapa cendiakawan Israel-Barat hanya untuk menampilkan keegoan mereka terhadap musuh mereka yang sebenarnya sudah cukup bersedia dari aspek kerohanian dan matlamat pembebasan?

Kini semua media antarabangsa melaporkan hasrat dunia untuk melihat proses damai antara Israel dan Palestin berlaku. Telah acapkali rundingan langsung antara rejim Zionis Yahudi dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) berlaku.

Namun, rundingan itu tergendala semula apabila pembekuan pembinaan penempatan baru Yahudi selama 10 bulan di Tebing Barat tamat pada akhir September lalu.

Sebagai simbolik penamatan tersebut, orang-orang Yahudi membawa jentolak dan alat-alat lain serta bahan pembinaan bagi merangsang semula pembinaan penempatan baru Yahudi di Tebing Barat yang kini mencapai jumlah 500,000 orang.

Lantas pihak PA pula memberi syarat tegas tidak akan berkompromi untuk meneruskan rundingan langsung jika rejim Zionis meneruskan penempatan mereka dan meramaikan penduduk Yahudi di Tebing Barat.

Manakala HAMAS yang berorentasikan perjuangan membebaskan Palestin secara mutlak telah menolak sebarang usaha damai antara Gaza dan Israel.

Jumlah rakyat Israel akan terus bertambah bukan kerana dasar penambahan anak tetapi disebabkan konsep penerimaan warganegara Israel yang terlalu terbuka. Israel bersedia menerima mana-mana penganut yahudi seluruh dunia yang inginkan perlindungan atau kewarganegaan di Israel.

Menurut kajian yang turut dimuatkan dalam Majalah Times, hanya 8% rakyat Israel menyokong bahawa perjanjian damai Israel-Palestin mampu membawa keamanan kepada mereka.

Ternyata mereka memandang rendah kepada usaha damai tersebut malah turut berpendirian bahawa konflik tersebut mungkin adalah konflik sepanjang zaman yang tiada noktahnya. Rakyat Israel lebih memandang masalah pendidikan , jenayah domestik, keselamatan negara dan kemiskinan sebagai masalah utama mereka.

Menurut Suhaimi Mokhtar, Perunding Media (Sinar Harian, 4 Oktober 2010), adalah terlalu sulit dan rumit untuk mencari penyelesaian konflik Palestin.

Ia menjadi bertambah rumit apabila rejim Zionis menambahkan penempatan baru penduduk Yahudi di wilayah-wilayah yang ingin dijadikan wilayah bumi negara Palestin.

Isu ibu negara Palestin dan ibu negara rejim Zionis dan hak untuk rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk kembali ke bumi Palestin adalah isu-isu kritikal yang kelihatan tidak ada jalan penyelesaiannya.

Walaupun status pelarian Palestin sejak tahun 1948 adaah menepati kehendak Konvensyen Pelarian 1951 Geneva, persepsi Israel terhadap mereka adalah berbeza.

Israel berjaya mempengaruhi pemikiran barat melalui persepsi bahawa kelompok pelarian yang berjuang untuk kembali ke tanah air sebagai kelompok pengganas.

Isu-isu yang menyangkut Palestin hampir mustahil untuk dicari penyelesaian. Ia ditambah pula dengan isu penempatan baru Yahudi ,menjadikan penyelesaian Palestin bagaikan tidak ada jalan keluar yang munasabah untuk dicari.

Penambahan penduduk Yahudi di Tebing Barat dan di Baitulmuqaddis Timur sengaja dicipta oleh rejim Zionis untuk menambahkan halangan sedia ada bagi menggagalkan usaha mewujudkan sebuah negara Palestin sebagaimana terkandung dalam pelan damai.

Di samping halangan-halangan berkenaan yang sangat sukar untuk mencari penyelesaiannya, status Masjid Al-Aqsa dan pelbagai tempat suci di persekitaran Baitulmuqaddis tidak dapat dirundingkan dan tiada kompromi. Ia lebih mengundang persengketaan dari perdamaian.

Adakah Israel tidak berasa bersalah dengan pendudukan mereka di perkampungan Palestin secara paksa? Jika anda sempat menjelajah laman sesawang wikipedia, dan ingin mencari takrifan sebenar status pelarian Palestin, anda pasti akan faham bagaimana persepsi Israel memahami konflik ini.

Bagi mereka pelarian Pelastin wujud kerana konflik Israel-Arab, tidak lebih dari itu.

Konflik yang dianggap tiada titik permulaan dan pelarian Palestin dianggap mendapat status pelarian selepas meninggalkan perkampungan mereka secara sukarela selepas tidak mampu menanggung konflik Arab-Israel yang melanda.

Pelarian Palestin adalah orang-orang yang biasa bertempat tinggal di Palestin antara Jun 1946 dan Mei 1948, yang akhirnya kehilangan hak rumah mereka akibat konflik Arab-Israel 1948. Rakyat Yahudi dianggap berhak terhadap bumi Palestin.

Wikipedia merakamkan pandangan Yahudi yang menganggap konflik dan perang keganasan hanya bermula disebabkan sikap rakyat Arab yang menolak hak Israel untuk menetap di bumi Palestin selepas Yahudi dihalau dari Jerman dan Rusia sepanjang Perang Dunia Pertama hingga Perang Dunia Kedua.

Selepas mereka dilanyak oleh Nazi (Perang Dunia Kedua) dan Tzar Rusia (era sebelum Perang Dunia Pertama), mereka merasakan berhak membina semula komuniti mereka berdasarkan saluran ‘sah’ mereka iaitu keputusan PBB dan sokongan Britain serta Amerika Syarikat walaupun melalui kaedah merampas tanah kaum lain.

Menurut satu pelan PBB, Baitulmuqaddis sepatutnya menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan bukan sebahagian daripada negeri orang Arab ataupun negeri orang Yahudi.

Dahulu, sempena Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis Barat diduduki oleh Israel manakala Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan.

Kemudian pada tahun 1967, semasa Perang Enam Hari, Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan Baitulmuqaddis di bawah penguasaan Israel.

Pada tahun 1988 Jordan menarik balik semua tuntutannya ke atas Tebing Barat (termasuklah Baitulmuqaddis) bagi menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967,

Israel menguasai keseluruhan kota tersebut dan menuntut hak kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmuqaddis. Israel juga menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara tetapi pengisytiharan ini tidak diiktiraf oleh masyarakat sedunia.

Palestin juga menuntut supaya keseluruhan Baitulmuqaddis ataupun sebahagian daripadanya yakni Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu negaranya.

Kini di Baitul maqdis terdapat kawasan yang boleh dimasuki oleh Palestin akan tetapi Yahudi juga mesti dibenarkan untuk memasuki kawasan tersebut.

Sementara itu terdapat juga kawasan di Baitulmaqdis yang hanya boleh dimasuki oleh kaum Yahudi dan rakyat Palestin diharamkan untuk memasuki kawasan itu.

Hal inilah yang turut menyumbang rasa tidak puas hati di kalangan penduduk asal Palestin di Baitulmaqdis.

Sudahlah rakyat Palestin di Gaza tidak berpeluang berjumpa saudara mereka di Palestin Tebing Barat, Israel sibuk pula memisahkan rakyat Palestin di Tebing Barat dengan kawasan Baitulmaqdis Timur (kawasan umat Islam) dengan membina tembok pemisah ke Baitulmaqdis.

Kini Israel sedang membina apa yang dikatakan sebagai ‘pagar keselamatan’ di sekeliling Tebing Barat, dengan alasan ianya diperlukan untuk menghalang pengganas-pengganas Palestin dari memasuki Israel.

Pada realitinya, ia tidak lebih dari sebuah penjara kerana tembok itu dibina di dalam kawasan Tebing Barat, Palestin. Tembok itu pula dibina dengan penuh strategik dan telah diubahsuai di beberapa tempat bagi memisahkan penempatan dan tanah Palestin daripada rakyat Palestin yang tinggal di 50 perkampungan berasingan.

Menurut laman sesawang PalestinKini, sejak pembinaannya, tembok itu telah memisahkan para petani dari tanah kebun mereka, ianya juga telah memisahkan kanak-kanak dari sekolah-sekolah mereka.

Sebilangan petani telah pun dihalau daripada tanah yang sepatutnya menjadi hak milik mereka dan diberitahu bahawa tanah itu telah menjadi milik Israel sekarang selepas pembinaan tembok tersebut.

Bagi rakyat, pemerintah Israel dan penguatkuasanya, orang Palestin adalah penceroboh kawasan mereka dan bukannya sebaliknya.

Hal ini boleh dilihat berdasarkan laporan Bernama 4 Oktober 2010 apabila seorang polis sempadan Israel menembak mati seorang lelaki Palestin yang dituduh cuba menceroboh masuk ke kawasan Israel berhampiran Baitulmaqdis Timur.

Padahal Baitulmaqdis Timur bukan mutlak sebagai ibu negara Israel. Mangsa berumur 37 tahun itu dituduh cuba melompat melepasi pagar bersama-sama 15 pekerja lain untuk memasuki Israel secara haram.

Polis terbabit mendakwa kononnya lelaki itu cuba merampas pistol miliknya semasa mangsa ditahan, menyebabkan pistol itu 'tertembak' lelaki Palestin tersebut.

Persepsi rakyat Israel terhadap Palestin mungkin berbeza dengan pandangan kumpulan hak asasi manusia di Isreal.

Baru-baru ini tiga buah kumpulan hak asasi Israel memohon perintah mahkamah hari ini supaya kerajaan rejim Zionis mengeluarkan senarai nama mereka yang terkorban dan cedera dalam serangan terhadap kapal misi bantuan ke Gaza pada 31 Mei yang lalu.

Laporan tersebut yang boleh dirujuk daripada laman http://www.adalah.org menunjukkan betapa gerakan hak asasi di Israel juga menemplak tindakan Isreal melarang penyiasatan PBB terhadap serangan mereka pada 31 Mei yang lalu.

Selain itu, mereka turut memfailkan permohonan ‘harbeas corpus’ terhadap Menteri Pertahanan Israel, Jabatan Penjara, Polis serta pihak Imigresen dengan mendakwa penahanan beberapa aktivis keamanan itu sebagai tidak sah.

Petisyen permohonan itu dilakukan oleh ahli jawatankuasa Pertubuhan Anti Penyeksaan dan Hak Asasi Manusia Israel yang diketuai oleh NGO bernama Adalah.

Selain Adalah iaitu Pusat Minoriti Arab di Isreal yang berpusat di Haifa, Israel, NGO hak asasi di Israel yang sering bertindak mendesak pemerintah Israel ialah seperti Pertubuhan Hak Asasi Isreal,

NGO B’tselem (Pusat Informasi Hak Asasi Wilayah Terjajah), NGO Gisha (Pusat Gerakan Pembebasan) dan NGO Yesh Din (Sukarelawan Hak Asasi Isreal).

Adakah benar rakyat Israel diajar untuk berpersepsi membenci Arab? Akhbar Berita Harian (Ahad, 26 Sept 2010) ada menyiarkan rencana berkenaan pendedahan seorang wartawan Israel terhadap persepsi dan mainan politik Israel terhadap Palestin.

Menurut Gideon Levy, seorang wartawan akhbar Haaretz (akhbar di Israel) yang telah menulis sebuah buku bertajuk The Punishment of Gaza, beliau menolak tanggapan umum yang mengatakan Israel mengamalkan demokrasi kerana sebenarnya Israel telah menindas penduduk Palestin.

Ketika ditemubual oleh akhbar The Independent, beliau mendedahkan taktik PM Israel, Benjamin Netanyahu yang menipu proses damai dengan Palestin. Akibatnya beliau kini dipantau oleh kerajaan Israel kerana berani mendedahkan perkara yang berlaku di wilayah ditakluki setiap minggu sejak 3 dekad lalu melalui akhbar Haretz.

Misi beliau sebenarnya adalah untuk menghapuskan paradigma ramai penduduk Israel yang sering berkata saya tidak tahu terhadap nasib malang Palestin.

Jelas bagi pandangan beliau, sikap sebenar Isreal terhadap Palestin dan pelan perdamaian adalah cukup pesimis dan tidak bersungguh.

Buktinya kini terdapat 3 jenis rakyat yang diperintah Israel iaitu warga Yahudi Israel, warga Arab Israel dan penduduk Palestin.

Yahudi Israel memiliki semua hak sivil manakala Arab Israel diberi kewarganegaraan tetapi dikenakan diskriminasi yang teruk manakala warga Palestin di wilayah yang ditakluk langsung tidak memiliki hak sivil mahupun hak asasi manusia.

Selain itu sepanjang tempoh 62 tahun, tiada langsung kampung Arab dibina. Situasi ini berlainan dengan jumlah bandar dan kampung Yahudi yang terus-terusan dibina.

Menurutnya lagi dalam buku tersebut, hukuman yang dikenakan kepada warga Yahudi dan Arab adalah berbeza walaupun jenayah yang dilakukan adalah sama. Pelajar Palestin pula tidak dapat menyewa pangsapuri di Tel Aviv kerana loghat dan namanya.

Lebih melucukan lagi, seekor anjing milik penduduk Israel yang mati akibat letupan roket Qassam diberi liputan luas dan dipaparkan di muka hadapan akhbar terlaris di Israel tetapi berita berpuluh-puluh penduduk Palestin yang mati di Gaza hanya ditulis di muka surat 16 akhbar yang sama dalam dua baris perkataan sahaja.

Persepsi negatif turut diajar kepada rakyat Israel apabila penduduk Yahudi Israel diajar bahawa manusia Palestin dilahirkan untuk membunuh, perasaan benci mereka adalah tidak rasional dan mereka bukan manusia seperti Yahudi Israel.

Beliau juga mengaku bahawa rundingan damai sebenarnya adalah satu penipuan dan tidak akan berjaya kerana berpendapat setiap rundingan damai memerlukan pembubaran penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Logiknya, jika akan dibubarkan, penempatan tersebut sepatutnya sudah mula diberhentikan tetapi perkara yang berlaku adalah sebaliknya malah berterusan sejak proses damai Oslo lagi.

Usaha jalan damai antara Israel dan Palestin akan sentiasa menjadi permainan dan perolokan jika aspirasi sebenar terhadap usaha damai tersebut tidak difahami iaitu memberi kebebasan kepada rakyat Palestin dan meletakkan baitulmaqdis sebagai kekal sebagai wilayah antarabangsa.

2 ulasan:

anti united malay nut orgi berkata...

Rakyat palestin di semenanjung gaza di kepung oleh musuh islam yg berbangsa yahudi juga org2 islam yg berbangsa arab yg sedia maklum menjadi barua kepada org yahudi iaitu seperti mesir yg berkongsi sempadan dgn semenanjung gaza yg di kuasai hamas.org arab jugalah yg membantu org yahudi utk mennghukum dnmembunuh org2 arab palestin sebab tu perjuangan kebangsaan di haramkan oleh allah taala.kerna berjuang hanya berdasarkan bangsa akan melahirkan manusia yg takut mati juga manusia yg tamak haloba seprti fatah palestin yg di kuasai oleh mahmud abas yg terang2 mengkhianati palestin hanyalah kerana kekayaan dunia yg sementara walaupun rkyat palestin di bunuh seperti binatang buruan oleh yahudi apakh yg mampu dilakukan oleh bangsa arab??lihat negara kita apabila perjuangan bangsa menjadi tunjang akan melahirkan pemimpin yg tamak haloba yg tidak kenal halal dn haram.Mesir pun tidak sudi membantu kerana Husni Mubarak juga pemimpin yg mmg sudah di suap secukupnya oleh yahudi lantas hanya memejamkan sebelah mata pembunuhan yg di lakukan oleh yahudi keatas rakyat palestin.Hamas yg di asaskan al quran sebagai tggk perjuangan tetap tidak akan sekali2 berdamai dgn israel kerana makhluk yahudi xkan patuh dgn perjanjian.sekarang ini adalah zaman yahudi dan paqsti zamannya juga akan berakhir seprti janji tuhan yg esa mereka kan lenyap di muka bumi.insyllah

Tanpa Nama berkata...

Memang tiada kuasa manusia pd ketika ini yg mampu menghalang kerakusan zionis/usa. Dunia hanya dpt melihat dan tidak mampu melakukan apa2 kerana dunia telah dikuasai oleh zionis/usa. Hanya kedatangan nabi isa as yg ditunggu bagi menghapuskan semua kaum zionis yahudi dr muka bumi ini sehabis2nya sebagaimana yg dijanjikan oleh Allah swt sebelum dunia ini ditamatkan riwayatnya.

Yahudi akan besekongkol dgn dajjal yg membunuh imam mahadi as, selepas itu dajjal dan yahudi pula akan dibinasakan oleh nabi isa as. Tanda2 kiamat pun telah banyak dan sedar atau tidak kita telah hampir kpd hari kehancuran. Gempa dan letupan gunung berapi yg kerap menandakan yakjut makjut yg mendiami dalam perut bumi telah terlampau ramai, bilangannya 9 kali ganda penduduk manusia di muka bumi, anggaran 54billion! mereka menunggu masa utk keluar ke permukaan bumi bg melakukan kehancuran dgn kekuatan yg tiada manusia dpt tandingi termasuk nabi isa as yg satu2nya utusan Allah yg tinggal. Nabi isa bersembunyi sehingga yakjut makjut dibinasakan Allah dgn sejenis ulat yg dijatuhkan oleh burung2 dr langit. Dunia akan dibinasakan tidak berapa lama selepas itu. Wallahua'lam