15 November 2010

Catur tarikh PRU13 - Congak Najib !

08 Zulhijjah 1431H.

SEBAIK muncul di khalayak umum, selepas sembuh menghidap penyakit cacar, badan Datuk Seri Najib Razak kelihatan susut sedikit, tetapi wajah tetap berseri dengan bibirnya berwarna kemerahan, yang sinonim dengan penampilannya.

Sejak mula diserang penyakit itu 4 November lalu, Najib kini sudah hampir sembuh sepenuhnya dan kembali bertugas, meskipun banyak acaranya sejak seminggu lalu, diwakilkan kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak hairanlah Facebook Najib dibanjiri ribuan ucapan selamat kembali bertugas, diiringi doa untuk terus sihat.

Menjelang 3 April tahun depan, Najib akan menyambut ulang tahun kedua sebagai Perdana Menteri. Beberapa hari sebelum itu, 26 Mac 2011, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula menyambut ulang tahun ke-30 sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Sejak Barisan Nasional (BN) menang dua pilihan raya kecil, iaitu Parlimen Batu Sapi (Sabah) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas (Kelantan) baru-baru ini, sudah ada cakap-cakap kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat, serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Yang pasti, Sarawak akan adakan pilihan raya negeri dalam tempoh lapan bulan mulai sekarang kerana DUN yang ada akan tamat tempohnya menjelang 24 Julai 2011. Antara Mac hingga April depan adalah tarikh popular menjadi teka-teki pemerhati politik, untuk pilihan raya.

Yang belum pasti ialah pilihan raya umum, sama ada ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. Jika serentak, bermakna pilihan raya umum juga perlu diadakan sebelum Julai depan, meskipun tempoh kerajaan BN pada peringkat Persekutuan sekarang hanya akan berakhir pada 2013, lebih dua tahun lagi.

Persoalannya sekarang, perlukah pilihan raya umum diadakan lebih awal semata-mata untuk mengadakannya serentak dengan Sarawak dan persoalan paling penting ialah sudah bersediakah BN khususnya UMNO untuk menghadapi pilihan raya dalam keadaan sekarang?

Ada yang berpendapat, BN perlu mengambil kesempatan kemenangan di Galas dan Batu Sapi untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat dengan alasan sokongan pengundi muda dan masyarakat Cina sudah kembali atau beralih semula kepada BN.

Namun ramai juga berpendapat, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi tidak cukup untuk dijadikan ukuran mutlak kekuatan BN, jika keputusan dua pilihan raya kecil itu diperhalusi. Misalnya, di Galas, kemenangan BN dikatakan lebih menjurus kepada faktor Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan di Batu Sapi pula lebih kepada isu tempatan.

Sepanjang kempen di dua lokasi itu, isu nasional tidak begitu ketara dibangkitkan. Di Batu Sapi, banyak isu tempatan seperti pembangunan prasarana, jalan raya, jeti dan projek sosioekonomi khususnya di kawasan Bumiputera banyak mempengaruhi pengundi.

Namun, ketika cakap-cakap mengenai pilihan raya mula bergema, pakatan rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelihatan mula kucar-kacir dengan proses pengundian untuk barisan kepemimpinannya.

Walau apapun, selepas berehat beberapa hari di Hospital Kuala Lumpur, Najib mungkin sudah mula mencongak tarikh sebenar untuk mengadakan pilihan raya, awal tahun depan serentak dengan pilihan raya Sarawak atau menunggu sehingga awal 2012?

( alb/sumber : Sabah Kini)

4 ulasan:

Awanama berkata...

YB, saya cadangkan Pas Perak perlu mengadakan perbincangan tertutup dgn DAP Perak untuk mengatur strategi praya akan datang. PKR dah merudum teruk dan mungkin memberi kesan skrg, saya harap pimpinan DAP perlu jaga mulut dan tindakan supaya tidak difitnah oleh BN. Saya sarankan buat sesuatu yg menunjukkan DAP perak khasnya mesra melayu. Minta Karpal Singh jgn bercakap ttg Pas dan Islam dalam tempoh begini. Pasukan perayu undi perlu dicari dan dilatih dari sekarang di kawasan Pas bertanding.

Awanama berkata...

Saya congak Najib akan mengundurkan Pilihan Raya Umum ke tahun 2012. Kerana saya rasa mungkin dia dan Isterinya amat takut menghadapi jika mereka kalah dalam PRU 2012 itu. Saya juga menjangkakan mereka lebih suka untuk menghabiskan masa-masa akhir mereka ini untuk membina impian hidup mereka sendiri agar dapat dikenang sebagai orang yang berjasa, walaupun cuma sedikit sahaja yang akan mengenangnya.

tokgaru berkata...

Parti Junk-Goat tak perlu bimbang dgn PRU 13. Sure menang punya. Sokongan bukan islam semakin hari semakin meningkat. Cuma buat masa ni mereka tak berasa nak peluk islam saja lagi.

Mungkin juga mereka sedang menunggu untuk melihat seorang PM dari Parti Junk-Goat kut ?

Awanama berkata...

tahun depan adalah tarikh terbaik untuk pilihan raya di adakan.. kerajaan tidak perlu tergopoh-gopoh...dan ianya sesuai untuk kedua-dua belah pihak samada kerajaan mahupun pembangkang mengukuhkan jentera masing-masing..tolonglah,campak sahaja segala isu-isu murahan..masing2 jadilah 'gentelman'..jangan sampai rakyat muak teramat sangat..dan 1 lagi..cukuplah dengan janji2 manis,kami bukannya bodoh sangat..dan yang pihak 1 lagi,cukup-cukuplah menaikan harga barang...hargailah kuasa yang sedang kami amanahkan kepada anda..