15 November 2010

Pakatan ucap Zaid ‘selamat’, optimis keluar parti tiada impak

08 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Walaupun tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR dilihat boleh membawa persepsi negatif jangka pendek terhadap Pakatan Rakyat, namun pemimpinnya yakin keputusan beliau tidak akan mengakibatkan kesan besar terhadap perikatan tiga parti itu.

Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali juga menyifatkan tindakan Zaid yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap Pakatan Rakyat.

“Saya tidak nampak ada apa-apa kesan daripada tindakan beliau (Zaid) meninggalkan PKR terhadap Pakatan Rakyat.

“Untuk jangka masa panjang tiada sebarang kesan, tiada kesan yang besar terhadap Pakatan Rakyat pun.

“Ini kerana beliau bukan penyelaras Pakatan Rakyat (seperti yang dilaporkan media), kedua tiada sesiapapun yang diangkat bagi jawatan itu (penyelaras Pakatan Rakyat) dan ketiga beliau hanya ditugaskan untuk bersama jawatankuasa penaja untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah Syed Husin (gambar), sekiranya Zaid benar-benar sudah meninggalkan PKR, ia memang sudah seperti yang dijangka dan beliau mengucapkan “selamat” kepada Zaid.

“Kalau betul beliau keluar ia memang dijangka dan saya ucapkan selamat kepada beliau,” katanya.

Laporan akhbar hari ini menyebut Zaid — sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini, keluar PKR, seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Isnin lalu, beliau mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan diselubungi kepincangan dan kecacatan.

Malah ketika itu beliau juga mengumumkan akan melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan hari ini memutuskan untuk meninggalkan PKR.

“Saya tahu hari saya dalam parti (PKR) sudah dihitung kerana pemimpin — pemimpinnya secara terus-menerus menyerang saya,” kata Zaid yang menyertai PKR 18 bulan yang lalu.

Kata Zaid, beliau mengambil keputusan keluar PKR kerana mahu memutuskan hubungan dengan pembohong dan penipu.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub juga berkata, tindakan Zaid keluar PKR tidak akan memberikan kesan terhadap Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP.

Namun beliau sedih kerana kehilangan seorang tokoh politik dalam parti.

“Bagi kita tiada kesan terhadap gabungan parti dalam Pakatan Rakyat kerana kita seringkali bekerja dalam satu pasukan.

“Bagaimanapun saya dukacita kehilangan seorang tokoh, beliau sudah buat pilihan dalam PKR. Itu saya tidak mahu komen.

“Namun begitu saya melihat dunia perjuangan memerlukan kesabaran,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata apa yang berlaku sekarang adalah satu proses biasa dalam mana-mana parti politik.

“Jadi apa yang berlaku adalah cukup besar kepada Pakatan Rakyat tapi ia proses biasa bagi mana-mana parti politik.

“Pemimpin akan diuji dengan keadaan dan suasana masa depan. Saya tidak risau tentang itu kerana ia lumrah dalam politik, pemimpin datang dan pergi yang mana ia hanya satu proses.

“Justeru saya harap kekosongan itu perlu diisi segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Loke Siew Fook berkata, tindakan terbaru Zaidh hanya akan menimbulkan persepsi negatif, yang akan hilang dengan sendiri dalam jangka panjang.

“Tidak ada kesan terhadap Pakatan Rakyat cuma yang ada hanya persepsi negatif masyarakat.

“Bagi saya tindakan beliau keluar PKR hanya akan menimbulkan persepsi negatif tapi secara keseluruhan ia tidak beri kesan kepada Pakatan Rakyat.

“Persepsi negatif itu ada kerana seorang pemimpin yang berprofil tinggi seperti beliau keluar daripada parti,” katanya.

Selain itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, persepsi negatif itu timbul disebabkan ada pihak yang sengaja menimbulkan persoalan dan memperbesarkan perkara itu.

“Dalam politik apabila isu seperti ini timbul maka banyak pihak pula yang akan menimbulkan persoalan.

“Bagi saya ia proses biasa dan ia akan mati dengan sendiri,” katanya.

Minggu lalu, Zaid meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Zaid menyertai PKR pertengahan 2009 selepas dipecat oleh Umno beberapa bulan sebelum itu, di mana beliau juga kritikal dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno tidak akan menerima beliau kembali.

Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini, Zaid berkata, “saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti.”

Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.

Malaysian Insider/-

4 ulasan:

Awanama berkata...

ada benar kata dato' zaid, DSAI byk sgt masalah peribadi, elok lah undur, xpsl2 dgn pas2 skali kena kesan nnti.

Awanama berkata...

ahli/pemimpin parti yang gelojoh dan merasa dirinya sempurna memang tidak wajar menjadi pemimpin sesebuah parti, kerana ahli-ahli akan memerhati gelagat dan tingkah laku mereka ini. Seharusnya kita perlu bersabar, bermuhasabah, banyak mendengar, istiqomah, iltizam, utamakan kepentingan ramai, dan tahu menghormati insan lain, barulah kita disanjung dan disayangi serta dihormati oleh pengikut/ahli, kawan serta lawan kita. buangkanlah perasaan ego yang boleh merosakkan amalan baik kita itu.

Awanama berkata...

Sokongan saya tetap pada kepimpinan lama. Mereka telah bejuang dari mula hingga sekarang tanpa jemu. Mereka2 ini terus bejuang menegakkan keadilan meskipun terus dihina, di cerca dan diaibkan oleh musuh2 PR. Mereka istiqamah....dan terus berjuang. Itulah DSAI.....Itulah AZMIN ALI dan kawan2 seangkatan dengannya dalam PKR.

Tidak seperti kebanyakkan ahli2 kepimpinan yang baru....dicoba dengan sedikit dugaan....sudah lemah longlai....kemudian menyalahkan kepimpinan atas. Yg paling ku benci....terus keluar meninggalkan parti....dan tinggal para penyokong terkontang-kanting.

Takdak pendirian langsung pemimpin sedemikian.

Awanama berkata...

Saya musykil akan tindakan Datuk Zaid,tetapi jika beliau tubuhkan parti baru ini akan mewarnai lagi dunia politik malaysia,kesannya tetap ada,tetapi ini akan memberi ruang pada beliau merasai payah jerih dalam dunia politik sebenar,beliau harus bergabung dengan katak2 yang melompat ini dan kita lihat apa akan terjadi dgn parti baru ini kerana mereka ini punya idealogi yg sama iaitu keadilan,tetapi harus di ingat bahawa jika parti baru ini sampai ke tahap PKR kelak,serangan ini akan berlaku sama apa yg mereka buat skrg,percayalah inilah Arus politik baru yang dicanang UMNO