23 November 2010

Usul bincang tarikh raya 'sangat pelik' ditolak

16 Zulhijjah 1431H

Usul tergempar yang dikemukakan ahli parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub agar Parlimen membincangkan isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi ditolak dalam kamar.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang dibuat bawah perkara 18(1) itu atas alasan ia sudah dibincangkan sebelum ini, lapor Harakahdaily.

Sehubungan itu, Salahuddin yang juga naib presiden PAS dalam dewan hari ini bangkit memohon Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberikan penerangan mengenai isu yang didakwa menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

Timbalan speaker Datuk Ronald kiandi bagaimanapun tidak menerima permohonan itu kerana usul berkenaan telah ditolak dalam kamar.

Sementara itu, Salahuddin dalam sidang media di lobi Parlimen selepas itu memberitahu, beliau akan menghantar satu notis kepada Jabatan Perdana Menteri meminta menteri atau timbalan menterinya hadir ke parlimen esok memberikan penjelasan.

"Saya tak ada peluang lagi untuk membahaskan isu ini kerana perbincangan di peringkat jawatankuasa kementerian-kementerian, JPM telah selesai," katanya seperti dilaporkan akhbar web PAS itu.

Pada 18 November lalu, Salahuddin mengemukakan usul kepada speaker, mendakwa sambutan Aidiladha pada Rabu lalu "sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: