13 Disember 2010

Provokasi: Jangan terpedaya taktik Umno BN

07 Muharam 1432H
Oleh : Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 12 Dis: Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi mengingatkan rakyat Pulau Pinang supaya tidak terpedaya dengan taktik yang dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam isu meraih simpati bagi kemenangan BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya lagi, Umno dan BN akan menggunakan pelbagai bentuk provokasi dan strategi bagi meraih semula sokongan kepada mereka.

"Di negeri Kedah, Umno dan BN tidak sedar mereka merupakan pembangkang. Begitu juga di Pulau Pinang dan Selangor. Oleh kerana mereka belum merasakan betapa peritnya menjadi pembangkang maka kesukaran yang mereka hadapi menjadi trauma yang begitu tragik sekali.

"Oleh kerana itu rakyat harus terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) bukan saja di negeri-negeri yang telah berjaya dimenangi dalam pilihan raya umum yang lalu, sebaliknya menambahkan sokongan kepada usaha PR untuk menerajui Putrajaya," ujarnya semasa menyampaikan ceramah isu semasa di Pajak Song, Kepala Batas, semalam.

Beliau juga membidas kerajaan yang sedia ada menerajui negara kerana memperalatkan SPR dan SPRM untuk mencapai aspirasi politik mereka dengan cara yang tidak telus dan berani.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bersikap berkecuali. Mereka ini memberi khidmat kepada rakyat. Bukannya bertindak sebagai sebuah parti politik yang menyebelahi. Apabila SPR sendiri menodai amanah yang diberikan kepada mereka, sudah pasti rakyat semakin hilang kepercayaan kepada institusi tersebut.

"Begitu juga dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang seharusnya tidak berpihak dalam mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan rasuah dan penyelewengan.

"Namun begitu jumlah yang telah mereka dakwa boleh dkira dengan jari jemari, jika mahu dibezakan dengan jumlah lapuran yang telah dibuat samada oleh individu maupun oleh PR sendiri," tegasnya lagi.

Menurut beliau lagi dengan adanya mandat di peringkat pusat maka segala perancangan besar untuk membela rakyat dan negara, dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan dalam jangkamasa panjang.

Oleh kerana itu mandat rakyat bagi mengekalkan negeri yang dimenangi oleh PR seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Perak harus dikekalkan kemenangan tersebut disamping memenangkan PR di seluruh negara.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: