08 Disember 2010

Saya tak mahu Speaker Dewan dibeli Umno BN

02 Muharam 1432H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar meminta penjelasan berhubung hasrat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa diberi peluang membela diri.

Usul di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) itu dibawa oleh Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

Beliau dalam sidang media sejurus keluar dari dewan, mempersoal keputusan Pandikar yang didakwa bercanggah dengan kenyataannya di Dewan Rakyat pada 22 April lalu.

"Keputusan Tan Sri Speaker ini melanggar keputusan yang dibuat beliau sendiri pada 22 April 2010 dalam hansard di mana Tan Sri Speaker menegaskan bahawa seseorang yang dirujuk ke jawatankuasa akan diberikan hak untuk memberikan keterangan dan memanggil saksi-saksi.

"Ini adalah keterangan yang dibuat oleh speaker sendiri dalam Dewan Rakyat namun keputusan ini pun dilanggar oleh Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR.

Menurutnya juga, beliau berhak meminta penjelasan berhubung keputusan itu memandangkan Anwar dan saksi-saksi langsung tidak dipanggil untuk memberikan keterangan.

Yang paling mengejutkan kami ialah apabila Tan Sri Speaker menggunakan peraturan mesyuarat 83 (11) di mana berbunyi, jawatankuasa itu jika baik pada timbangannya boleh enggan mendengar apa-apa keterangan yang tiada perkaitan sedangkan keterangan yang akan diberikan oleh Permatang Pauh berkaitan terus dengan pertuduhan yang dibuat ke atas beliau.

"Bagaimana tafsirannya boleh begitu jauh menyimpang daripada apa yang ditetapkan oleh peraturan mesyuarat dan berkata mendengar cakap saksi yang degil sedangkan belum pun tertuduh dan saksi dipanggil untuk memberi keterangan tetapi jawatankuasa telah menghukum bahawa keterangan itu tidak relevan," katanya lagi.

Sementara itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berkata, berlaku 'conflict of interest' dalam perkara berkenaan kerana Pandikar yang merupakan speaker sendiri yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pula menyifatkan keputusan itu sebagai mencemar nama baik Parlimen.

"Sepatutnya jawatankuasa perlu memperlihatkan satu prinsip demokratik. Bukan menghukum Anwar tanpa memanggil beliau memberi keterangan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Azmin di dalam dewan sebelum itu membidas Pandikar kerana menolak saksi, bukti dan dokumen yang membantu Anwar membela dirinya di Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Katanya, Dewan Rakyat sama-sekali tidak boleh bersetuju dengan tindakan jawatankuasa yang sengaja melanggar prosedur dan prinsip 'natural justice'.

"Kalau hakim boleh dibeli, doktor boleh dibeli beri keterangan palsu, saya tidak mahu Speaker Dewan dibeli oleh Umno Barisan Nasional," kata Azmin yang menimbulkan kekecohan apabila wakil Barisan Nasional meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

Kekecohan itu menyebabkan lima wakil Pakatan digantung dari persidangan sehingga jam 2.30 petang.

Selain Azmin mereka ialah Tian Chua (PKR-Batu), Yusmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau), Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota).

Minggu lalu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dilaporkan tidak akan mendengar lagi keterangan saksi, termasuk dari Anwar dan akan membuat rumusan berdasarkan sepucuk surat penjelasan oleh firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide.

Kerajaan pada April lalu mendesak tindakan diambil ke atas Anwar kerana membidas slogan 'Satu Malaysia' yang diilhamkan oleh Apco, diodakwanya ditiru dari konsep 'One Israel' yang digunakan oleh perdana menteri Israel, Ehud Barak pada 1999.

Pada 3 Disember lalu, Karpal yang juga anggota jawatankuasa itu berkata ahli-ahlinya diberikan sepucuk surat dari Apco bertarikh 19 Ogos dan memutuskan telah membuat rumusan mereka.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: