19 Januari 2011

"Dewa Puisi" Li Bai (1)


14 Safar 1432H.

Li Bai yang berbangsa Han dilahirkan pada tahun 701 dan meninggal dunia pada tahun 762 Masehi. Beliau yang bergelar "Qing Lian Ju Shi" (Penghuni di tebing Tasik Bunga Teratai Hijau) masih mempunyai nama sampingannya, iaitu Li Tai Bai.

Li Bai diiktiraf sebagai penyajak romantik yang gemilang pada zaman Dinasti Tang. Karya-karyanya bergaya terbuka hati dengan dipenuhi khayalan yang beraneka macam. Beliau mahir memilih kata-kata yang sesuai dengan nada yang diperlukan sehingga berjaya menjadikan karya puisinya seolah-olah suatu karya muzik. Jika dilihat dari segi keseluruhan, karya ciptaan Li Bai selalu diibaratkan sebagai batu permata yang semula jadi.

Demi mewarnai karyanya, Li Bai sering menimba bahan-bahan daripada balada dan mitos tradisional China. Kejayaannya dalam bidang puisi romantik meletakkan beliau pada satu kedudukan yang setinggi dengan Qu Yuan, sasterawan yang tersohor yang hidup pada zaman Negeri-negeri Berperang, kira-kira seribu tahun sebelum Li Bai. Kedua-dua mereka diiktiraf sebagai pendorong utama dalam mengembangkan puisi romantik pada zaman purba di China.

Jika hanya menilai pencapaian puisi pada zaman Dinasti Tang, Li Bai diberi kedudukan yang setinggi dengan Du Fu, penyajak yang cemerlang yang pandai menghasilkan karya yang berunsur sejarah. Kedua-dua mereka digelar "Li Du".

Terdapat seorang lagi penyajak yang mungkin boleh berbanding dengan Li Bai, iaitu Li He. Beliau juga mahir menghasilkan karya yang berunsur romantik dengan menggunakan kata-kata yang berlebih-lebihan untuk mencipta khalayan yang luar biasa. Cuma, karya-karya Li Bai kelihatan semulajadi, iaitu tidak nampak kesan yang direka-reka, sedangkan Li He cenderung memilih-milih perkataan bagi mereka-rekakan karyanya.

Li He masih suka mengisi cerita sejarah atau pepatah dari tokoh ternama ke dalam karyanya sehingga karyanya kelihatan penuh dengan unsur "kesengajaan". Proses menghasilkan puisi yang dilakukan oleh Li He boleh disifatkan sebagai "berhempas pulas menggunakan setiap titik peluhnya", tetapi proses yang dilakukan oleh Li Bai disifatkan sebagai "sebebas-bebasnya".

Pada hakikatnya, pencapaian kedua-dua orang Li Bai dan Li He dalam bidang puisi tidak mungkin dinilai pada taraf yang setimpal.

Nenek moyang Li Bai berasal dari Cheng Ji, Longxi (Kaunti Qinan, Provinsi Gansu sekarang). Pada tahun terakhir dalam zaman Dinasti Sui, iaitu tahun 617 Masehi, keluarga Li Bai berhijrah ke Kota Suiye di Asia Tengah (Tokmok, bahagian utara Kyrgyzstan sekarang). Katanya, Li Bai dilahirkan di sana.

Ketika Li Bai berumur 5 tahun, keluarganya berpindah ke Kaunti Zhangming, Bandar Mianzhou (Kaunti Jiangyou, Provinsi Sichuan sekarang).

Li Bai mula berjalan ke luar Provinsi Sichun pada usia 20 tahun, dan menjelajah ke kawasan yang sejauh ke Tasik Dongting serta Sungai Xiang di selatan, dan negeri Wu dan Yue di timur. Ketika itu, beliau memilih tinggal di Anlu (Kaunti Anlu, Provinsi Hubei sekarang).

Li Bai ingin mengenali teman baru dan bergaulan dengan kalangan elite melalui penjelajahannya, dengan tujuan mutlaknya disyorkan oleh seseorang tokoh ternama untuk dilantik ke jawatan tinggi dalam kerajaan. Dengan demikian, beliau barulah berkemungkinan merealisasikan cita-citanya dalam bidang politik. CRI/-

Tiada ulasan: