19 Januari 2011

Mufti Perak: Pembesar suara selain untuk azan tak perlu

Oleh : MOD
14 Safar 1432H January 19, 2011

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga berkata pengurusan masjid atau surau tidak perlu menggunakan pembesar suara selain untuk tujuan azan, tetapi menegaskan pihak berkuasa tidak perlu mewujudkan garis panduan yang baru.

Kata beliau, hanya untuk tujuan azan yang perlu menggunakan pembesar suara manakala bacaan-bacaan lain tidak perlu.

“Hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara, yang lain tidak perlu. Bacaan lain hanya gunakan (pembesar suara) dalam masjid sahaja.

“Tak usahlah nak ganggu orang lain, lagipun tak disuruhkan dalam Islam gunakan pembesar suara selain azan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah Harussani, peraturan supaya pembesar suara digunakan hanya untuk azan juga tidak perlu kerana ia garis panduan sudah sedia ada.

“Saya ingat ia (peraturan) sudah ada, cuma kita tidak laksanakan.

“Apa-apa pun bagi saya, hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara. Yang lain tidak perlu,” katanya.

Sebelum ini bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan, yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka dalam masjid.

Kontroversi isu azan timbul selepas seorang peguam bukan Islam mempertikaikan bunyi azan yang terlalu kuat sehingga mengganggunya.

Namun peguam tersebut, Ng Kian Nam yang juga ahli MCA memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata isu azan tersebut telah dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Beliau juga mencadangkan supaya semua rakyat di negara ini menghormati antara satu sama lain demi menjaga keharmonian negara.

“Azan berkumandang untuk memanggil orang Islam bersolat, jadi ia bukan masalah dan bukan isu.

“Ketika saya di Amerika dulu, ketika azan orang Islam di sana tidak menggunakan pembesar suara kerana tidak mahu mengganggu orang lain.

“Macam kita di Malaysia begitu juga, kita kena menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai mengganggu mereka,” katanya.

Nik Mustapha juga kecewa apabila isu azan tersebut telah dipolitikkan kerana pemimpin-pemimpin melihat ia dari sudut politik.

“Kenapa nak jadikan isu? Kenapa nak dipolitikkan?

“Kalau lihat dari sudut politik maka ia jadi isu politik, dulu perkara seperti ini tidak pernah berlaku pun.

“Jadi kenapa nak bincangkan perkara ini? Apa yang penting kita menghormati antara satu sama lain, menghormati adat resam. Yang penting hidup dalam keadaan harmoni, saya tidak faham kenapa ia dipolitikkan,” katanya dengan nada kecewa.

Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.

Ekoran itu, Perkasa dan Pekida telah mengadakan protes di pekarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.(Malaysian Insider)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cuba tnya ng azan d negara cina mcmana?atau komen yg dbuat ng ini adlh ujikaji melihat situasi ?atau situasi yg dcipta spy Ada yg dpt menangguk d air yg keroh?ish...mcm2 la...bnyk parasit skrg ni