01 Januari 2011

Hu Lun Tun Zao : Menelan Buah Kurma Bulat-Bulat

27 Muharram 1432H.

Asal Usul:

Pada suatu masa dahulu, ada seorang pemuda "kutu buku" yang sangat suka membaca buku dengan lantang halaman demi halaman. Namun, dia tidak pernah memikirkan makna dan maksud yang tersirat dalam ayat-ayat yang dibacanya. Walaupun begitu, dia tetap menganggap dirinya orang yang berilmu dan berpengetahuan luas.

Pada suatu hari, si kutu buku yang menganggap dirinya pandai itu pergi ke pasar untuk membeli buah-buahan. Di pasar itu, seorang tua penjual buah pir memberitahunya,

"Buah pir ini memang amat baik untuk gigi, tetapi ia juga boleh merosakkan perut jika dimakan terlalu banyak."

Seorang tua penjual buah kurma di sebelah penjual buah pir itu pula memberitahunya,

"Buah kurma ini amat baik untuk perut, tetapi ia juga boleh menjejaskan kesihatan gigi jika ia dimakan terlalu banyak."

Mendengar kata-kata dua orang penjual itu, si kutu buku itu terus berkata tanpa berfikir sedikit pun,

"Itu senang sahaja! Bagi buah pir ini, kita kunyah sahaja, tidak perlu ditelan. Bagi buah kurma ini pula, kita boleh terus menelannya tanpa mengunyah. Dengan cara ini, gigi dan perut kita akan dapat dijaga dengan baik."

Sebaik sahaja habis bercakap, dia pun terus memasukkan sebiji buah kurma ke dalam mulutnya, dan cuba menelannya bulat-bulat. Akibatnya, dia nyaris tercekik.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Hu Lun Tun Zao" atau "Menelan Buah Kurma Bulat-Bulat" ini, digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang malas berfikir ketika belajar. Mereka sudah biasa menerima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan tanpa mencernanya, atau hanya belajar dengan cara menghafal tanpa memahaminya. Cara belajar ini sebenarnya tidak membawa sebarang kebaikan kepada mereka. CRI/-

Tiada ulasan: