24 Januari 2011

Sidang DUN S'gor hari ini jadi tumpuan

19 Safar 1432H [MOD]..

ADUN dan para wartawan tiba awal hari ini untuk menghadiri sidang DUN Selangor yang akan membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.

Dua trak anggota polis kelihatan berada di pintu masuk DUN manakala satu trak lagi berada berhampiran Wisma MBSA, ekoran kemungkinan berlakunya protes pagi ini.

Kedua-dua pintu masuk dan keluar DUN dibuka separuh, dengan ruang yang mencukupi untuk dilalui sebuah kereta.

Sidang DUN dijadual bermula jam 10 pagi di mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang meminda Undang-undang Tubuh Negeri tersebut.

BN sebagai pembangkang negeri bagaimanapun menuduh kerajaan merancang untuk menambah kuasa menteri besar dalam menentukan pelantikan pegawai tinggi kerajaan negeri.

Cadangan pindaan itu dibuat ekoran tindakan kerajaan pusat melantik bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Kerajaan Selangor membantah keras pelantikan tersebut dan menuduh Putrajaya mengetepikan kuasa negeri, apabila melantik Khusrin tanpa berbincang dengan menter besar.

Sultan Selangor bagaimanapun memperkenankan pelantikan Khusrin yang mengangkat sumpah pasa 5 Januari lalu.

LAPORAN LANGSUNG


9.30 pagi: ADUN Pelabuhan Klang tiba di bangunan SUK, diiringi dua pembantu.

Beliau disambut oleh silauan lampu kamera jurufoto, menyebabkannya agak terkejut.

"Wah, banyak peminat ni," katanya berseloroh.

Beliau enggan menjawab sebarang soalan walaupun ditanya bertubi-tubi oleh pemberita sama ada akan mencabar keputusan speaker Teng Chang Khim yang mengisytiharkan kerusinya kosong.

9.32 pagi: Kira-kira 200 berkumpul di Dataran Shah Alam bawa pengawasan ketat polis. Sebahagian peserta memakai ikat kepala bertulis GAPS (Gagasan Anti Penyelewengan Selangor). Empat unit pasukan polis berkawal di depan pintu SUK.

9.40 pagi: Didesak pemberita, ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah memberitahu akan memfailkan saman bagi mencabar keputusan itu tengah hari ini selepas menghadiri sidang DUN.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada beliau dibenarkan memasuki dewan ekoran kerusinya telah diisytihar kosong.

10 pagi: Dewan mula bersidang. ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.(Mkini)

[Baca berita lanjut]..

Tiada ulasan: