24 Januari 2011

Kelantan taja 30 pelajar Palestin

19 Safar 1432H [MOD]..

KOTA BHARU, 24 Jan: Kerajaan Kelantan telah menaja 30 orang rakyat Palestin dalam program pendidikan sebagai usaha membantu masyarakat tersebut mendapatkan ilmu bermanfaat untuk membangunkan semula negara mereka.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dauko Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata ianya selaras dengan kehendak rakyat Palestin sendiri yang perlukan ilmu terutama bidang kedoktoran dan ekonomi agar lahir lebih ramai golongan berilmu di negara terbabit.

Beliau berkata demikian ketika memberitahu media selepas meraikan lima orang rombongan dari Kementerian Luar, kerajaan Hamas, Palestin yang diketuai Hani Abu Ubaidah yang juga ketua jurucakap kerajaan berkenaan, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Luarnya, Dr Mahmood Abu Zakaria.

Menurut Tuan Guru, hanya ilmu pengetahuan yang tinggi dapat membantu sesebuah negara.

“Jadi kerajaan Kelantan bersedia menaja pelajar Palestin di negeri ini dengan harapan mereka memperolehi ilmu Islam dan membawa pulang ke negaranya,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau menyeru golongan dermawan membantu rakyat negara itu untuk mendapatkan peluang pendidikan di negara ini.

Menurutnya, tanggungjawab itu perlu dipikul bersama demi untuk kepentingan Islam.

Terdahulu, Dr Mahmood berkata antara tujuan lawatannya ke Kelantan untuk berkongsi pengalaman pentadbiran yang telah diterajui PAS sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, sebagai sebuah negara baru yang baru ditadbir oleh gerakan Islam, pembaharuan dan pengalaman perlu ditimba dari sebuah kerajaan yang telah mencapai kejayaan.

“Kerana itu kami berhasrat untuk menghantar seberapa ramai pelajar kami ke negara ini termasuk Kelantan, mudahan dengan ilmu yang baik dapat dimanaafkan di negara kami,” ujarnya.

Pada masa yang sama, rombongan terbabit yang turut menemui pemimpin kerajaan Persekutuan dan pemimpin pembangkang turut kagum dengan kemajuan pesat yang dicapai oleh kerajaan negeri.

Kehadiran rombongan berkenaan turut mendapat liputan dua buah stesyen tv swasta negara ini.(HarakahDaily)

Tiada ulasan: