02 Februari 2011

Lebih 43,000 mangsa banjir masih di pusat pemindahan di Johor

28 Safar 1432H.

JOHOR BAHARU: Bencana banjir yang melanda Johor masih tidak banyak berubah dengan jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan ialah seramai 43,283 orang daripada 10,281 keluarga.

Laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor www.johordt.gov.my menyebut sehingga pukul 8 pagi ini daerah Segamat mencatatkan mangsa teramai dengan 21,128 orang membabitkan 5,194 keluarga.

Ini diikuti Ledang dengan 5,822 orang (1,308 keluarga), Batu Pahat dengan 5,090 mangsa (1,109 keluarga), Muar (4,759 orang daripada 1,074 keluarga) dan Kluang dengan 4,135 mangsa membabitkan 1,029 keluarga.

Portal itu juga melaporkan di Kota Tinggi seramai 1,523 orang daripada 353 keluarga dipindahkan, Pontian (740 orang membabitkan 180 keluarga), Mersing (47 orang daripada 31 keluarga) dan Johor Baharu (39 orang daripada sembilan keluarga).

Kesemua mangsa di Kulaijaya sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Portal itu berkata, sehingga kini sebanyak 232 pusat pemindahan dibuka iaitu 84 di Segamat, Batu Pahat (34), Ledang (30), Kluang (29), Muar (23), Kota Tinggi (18), Pontian (12), Mersing dan Johor Baharu masing-masing satu.

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian banjir di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lalu.

Sinar/-

Tiada ulasan: