01 Februari 2011

Siapakah sebenarnya yang benci Rasulullah?

27 Safar 1432H.
Oleh : Ahmad Baei Jaafar.

Isu menyambut Maulidul Rasul bidah sudah agak berkurangan sekarang. Pihak yang mendakwa bidah mula akur dengan keputusan kerajaan dan ulama. Malah ada masjid yang suatu ketika dahulu tidak membuat majlis tersebut turut menganjurkan juga kini.

Menyambut Maulidul Rasul pada setiap kali tarikh 12 Rabiulawal hakikatnya untuk menyatakan rasa kecintaan kepada Baginda Rasul. Mungkin pada sesetengah orang, rasa cinta kepada rasul semakin berkurangan dengan berlalunya masa. Jadi, dengan sambutan ini boleh mengingatkan kembali rasa cinta itu.

Cuma persoalan sekarang, adakah orang yang tidak mahu menyambut majlis Maulidul Rasul termasuk dalam kategori orang membenci nabi? Perlu dijelaskan di sini, tidak menyambut majlis sebegini tidaklah wajar dikatakan membenci nabi dan rasul. Hal ini kerana rasa cinta boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

Sebenarnya mereka yang membenci nabi pada hari ini boleh didapati di mana-mana. Mereka ini bukan sahaja tidak mahu mengikut sunnah Rasulullah tetapi turut memperlecehkan sunnah itu. Solat sunat bukan sahaja mereka tidak melakukannya tetapi turut mengatakan bukan-bukan kepada yang melakukan solat itu.

Pakaian menutup aurat bukan sahaja mereka tidak mahu memakainya, tetapi turut mencipta pakaian yang berlawanan dengan perintah Allah. Mereka ini secara umumnya apabila menyebut sunnah akan melihatnya sebagai negatif. Hal ini adalah kerana mereka sendiri tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan sunnah.

Sebenarnya sunnah di sudut bahasa bukan sunat tetapi sesuatu yang menjadi istiqamah Rasulullah dalam hayatnya. Mungkin dalam ruang yang sedikit ini saya boleh contohkan beberapa sunnah yang wajar kita ikut:

Solat pada awal waktu
Puasa sunat Isnin dan Khamis
Makan berjemaah dengan keluarga atau sahabat
Bermanja dengan isteri
Membantu kerja isteri
Segera memberi nasihat sesuatu yang dilihat tidak betul
Berpakaian kemas dan sopan.

Ramai yang salah faham dalam soal sunnah ini kerana mereka hanya melihat kepada memakai serban dan jubah. Dan sunnah juga selalu dirujuk kepada amalan poligami. Padahal banyak lagi sunnah yang mudah kita lakukan setiap hari namun selalu kita abaikan.

Menyentuh soal ini, umat Islam perlulah memahami apa yang diajar oleh Rasulullah dan amalkan dengan sebaiknya kalau tidak mahu dikatakan “membenci sunnah rasul”. Selain yang disenaraikan di atas, umat Islam juga perlu sedar bahawa Rasulullah datang dengan membawa dua perkara besar bersandarkan firman Allah yang bermaksud:

“... dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasr: 7)

Dua perkara yang dimaksudkan ialah: Apa yang dibawa oleh baginda, kita kena terima dan amalkan; dan apa yang dilarang olehnya hendaklah dipatuhi dan tinggalkan.
Oleh sebab itu apa sahaja yang disuruh oleh rasul, kita wajib patuh kerana apa yang dibuat oleh rasul itu adalah perintah Allah.

Sebaliknya apa yang rasulullah larang, wajiblah kita tinggalkan. Maknannya haram ke atas kita melakukannya.

Semua perintah dan larangan itu perlu diketahui oleh umat Islam. Untuk itu mereka perlu belajar sama ada dengan berguru atau membaca sendiri buku-buku yang telah ditulis dan dikumpulkan oleh ulama.

Percayalah kalau semua umat Islam ada ilmu yang cukup, aqidah mereka akan mantap, ibadah mereka lebih bermutu dan akhlak mereka akan lebih baik. Mereka inilah yang layak dikatakan beriman dan bertaqwa.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

info yg berguna. blog yb bermutu lah, ada update yg betul dari dlm negara dan ilmu bermanfaat skali. keep up good work.