22 April 2011

Pencuri Pakai Seluar Dalam

18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KOTA KINABALU: Seorang lelaki anggota geng curi kabel yang hanya memakai seluar dalam maut, manakala rakannya parah selepas ditembak ketika cuba menyerang polis menggunakan parang di Kilometer 6, Jalan Ranau-Telupid, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, kedua-dua lelaki terbabit ditembak selepas cuba menyerang sepasukan polis sebaik menyedari kegiatan mereka dikesan.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, beberapa petugas Telekom Malaysia (TM) yang melihat kegiatan kedua-dua suspek berkenaan menghubungi polis bagi memaklumkan kegiatan itu.

Berdasarkan laporan, sepasukan enam anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke tempat kejadian dan menemui dua kereta diletakkan di tepi jalan dan pemeriksaan di kenderaan itu menemui beberapa gulung kabel di tepi kenderaan terbabit dipercayai dicuri.

Pada masa sama, dua lelaki yang berseluar dalam menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran sebelum dikejar beberapa anggota polis yang turut melepaskan tembakan amaran ke udara, tetapi tidak diendahkan.

Malah, seorang suspek bersenjatakan parang berpatah balik sebelum cuba melibas parang sehingga memaksa tembakan dilepaskan mengenai rusuk kiri suspek.

Melihat keadaan rakannya yang tersungkur, suspek kedua yang juga bersenjatakan parang berpatah balik dan cuba menyerang polis, tetapi menerima nasib sama apabila ditembak di kaki dan paha.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, suspek pertama lingkungan 30-an mati di tempat kejadian, manakala suspek kedua berusia 38 tahun cedera di kaki dan paha kanan.

Tiada ulasan: