22 April 2011

Helikopter Terjunam ke Sawah

18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


PASIR MAS: “Hampir lima minit helikopter itu dilihat berlegar-legar di kawasan kampung sebelum mendarat cemas dengan keadaan bahagian hadapannya menjunam di dalam kawasan sawah kira-kira 100 meter di hadapan rumah saya.

“Kejadian itu memang mencemaskan, namun mujur tiada kemalangan jiwa berlaku,” kata Noraidah Ismail, 34, saksi kejadian sebuah helikopter mendarat cemas di Kampung Surau dekat Salor di sini, kelmarin.

Gambar hiasan

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dua juruterbang helikopter yang sedang menjalani latihan di kawasan berkenaan berdepan detik mencemaskan sebaik pesawat dinaiki menghadapi masalah teknikal pada bahagian ekor sebelum melakukan pendaratan cemas.

Situasi itu menyebabkan penduduk kampung bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan juruterbang terbabit, namun kedua-duanya selamat.

Noraidah berkata, dia yang berehat di rumah bersama suami, Amran Che Min, 35, dan dua anak terkejut mendengar bunyi bising seperti kipas rosak di hadapan rumah.

“Sebaik keluar rumah, saya lihat helikopter itu betul-betul menghadap rumah dalam keadaan menjunam. “Saya segera mendapatkan suami serta anak kerana bimbangkan keselamatan mereka berikutan kedudukannya hampir dengan rumah.

“Selepas mendarat, dua juruterbang keluar dari helikopter dan seorang daripadanya bertanya kepada suami mengenai lokasi untuk membolehkan maklumat disalurkan kepada pusat latihan mereka di Pengkalan Chepa,” katanya ketika ditemui di kawasan terbabit, semalam.

Suri rumah itu berkata, sebelum kejadian penduduk kampung melihat helikopter itu terbang rendah.

“Kejadian ini pertama kali berlaku dan mungkin masalah kipas rosak menjadi punca kejadian. Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana juruterbangnya mampu mengawal helikopter dan mendarat cemas,” katanya.

Helikopter berkenaan terpaksa diangkut menggunakan lori dan proses memindahkannya ke dalam kenderaan itu mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum dibawa ke pusat latihannya di Pengkalan Chepa.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

1 ulasan:

Awanama berkata...

bersyukurlah kepada Allah,jangan kufur lagi kepadaNya!