30 Mei 2011

Eropah cemas sayuran tercemar

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


PRAGUE, Republik Czech — Sejumlah sayuran dari Sepanyol yang disyaki dicemari bakteria yang boleh membawa maut ditarik balik penjualannya di Austria dan Republik Czech bagi mengelak wabak penyakit, lapor pihak berkuasa semalam.

Jangkitan bakteria yang dikenal pasti sebagai E. coli itu telah membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang manakala ratusan yang lain di seluruh Eropah mengalami keracunan.

SEBIJI timun yang ditanam di sebuah rumah hijau di Algarrobo Sepanyol

Pihak berkuasa Czech menyatakan, sebanyak 120 timun organik Sepanyol yang disyaki dicemari bakteria itu ditarik semula penjualannya dari pasar raya dan kedai runcit.

Pegawai kesihatan di Austria pula memberitahu, hanya sebilangan jumlah timun yang ditarik balik.

Agensi Kesihatan dan Keselamatan Makanan Austria menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan amaran bahawa pencemaran bakteria itu turut merebak pada tanaman tomato dan terung.

Agensi tersebut mendakwa sejumlah sayuran itu mungkin telah dijual dan meminta orang ramai yang membelinya supaya segera membuang sayuran tersebut.

Di Denmark, seramai lapan orang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan bakteria E. coli.

Timun yang dicemari bakteria itu turut dilaporkan turut dieksport ke Hungary dan Luxembourg untuk dijual.

Dua rumah hijau di Sepanyol didapati menjadi sumber bakteria tersebut merebak.

Negara lain seperti United Kingdom dan Belanda juga dipercayai dijangkiti bakteria tersebut.

Orang ramai yang baru pulang mengunjungi Jerman pula diminta untuk berjumpa dengan doktor jika mereka mengalami cirit birit berdarah. 

Agensi

Tiada ulasan: