30 Mei 2011

Serangan udara NATO korban 52 orang awam

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

LELAKI Afghan melihat mayat dua kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara NATO di Helmand, kelmarin. - Foto AFP
Tentera salah sangka rakyat, polis Afghanistan militan

KANDAHAR: Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membunuh 52 orang kebanyakannya orang awam dalam serangan udara terhadap pemberontak sejak beberapa minggu lalu.

Di wilayah selatan Helmand, pihak berkuasa berkata sekurang-kurang 14 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan udara kelmarin.
Tentera Laut Amerika di daerah Nawzad di Helmand melancarkan serangan udara itu selepas pangkalan mereka diserang, kata kerajaan wilayah itu dalam satu kenyataan.

“Ketika serangan udara itu, dua rumah orang awam disasarkan dan menyebabkan 14 orang awam terbunuh dan enam lagi cedera,” katanya.

Kenyataan itu berkata mangsa yang terbunuh termasuk lima kanak-kanak perempuan, tujuh kanak-kanak lelaki dan dua wanita.

“ISAF menyedari ada laporan menyatakan orang awam terbunuh dalam serangan udara kami,” kata jurucakap Pasukan Pembantu Keselamatan Antarabangsa (ISAF) NATO, Mejar Tim James.

“Komando Daerah Barat Daya dihantar memantau bersama kawasan yang didakwa dan mereka akan mengeluarkan kenyataan hasil pemantauan kepada media,” katanya. Seorang warga emas tempatan di daerah Nawzad, Aslam memberitahu beliau kehilangan 12 saudara mara sementara 10 lagi termasuk kanak-kanak cedera dalam serangan udara itu.

Beliau berkata sesetengah bedilan dibuat dari helikopter ISAF yang terbang ke kawasan itu, dan menambah helikopter itu kembali semula selepas 10 hingga 20 minit dengan melepaskan roket membedil penduduk yang tidak bersalah.
Menurutnya lima kanak-kanak, lima lelaki dan dua wanita terbunuh dalam serangan berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, gabenor Nuristan semalam memberitahu AFP 18 orang awam dan 20 polis terbunuh dalam serangan udara diketuai Amerika menentang pemberontak di kawasan wilayah bergolak timur laut.

Nuristan menjadi medan pertempuran hebat minggu lalu di antara Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan. Orang awam dan polis menjadi sasaran Rabu lalu selepas mereka disangkakan militan, kata Jamaluddin Badr said.

“Polis terbunuh berikutan serangan itu,” kata Badr yang menambah serangan udara di kawasan bergolak Do Ab disasarkan di lokasi pegawai itu.

“Penduduk awam terbunuh kerana Taliban lari menuju rumah orang awam dan kemudian orang awam disalah anggap sebagai Taliban dan diserang,” kata gabenor.
James berkata semua dakwaan itu turut disiasat.

“ISAF menghantar pasukan penyiasat untuk menyiasat dakwaan mengenai orang awam dan kecederaan polis di Nuristan,” katanya.

“Laporan awal kami tidak mengemukakan sebarang kecederaan atau kematian orang awam akibat serangan udara itu,” katanya.

Kematian orang awam dalam perang diketuai Amerika Syarikat menentang al Qaeda menerusi rangkaian Taliban membangkitkan isu sensitif dan satu daripada sebab utama yang melebarkan jurang Presiden Hamid Karzai dan sekutu Amerika.

Sabtu, Karzai mengarahkan Menteri Pertahanan Abdul Rahim Wardak untuk mengambil alih kawalan serangan malam daripada pasukan NATO.

Pentadbiran Karzai berkata kebanyakan kematian orang awam berlaku ketika operasi dan serbuan malam terhadap kediaman orang awam turut melemahkan hubungan rakyat terhadap pentadbirannya yang kian lemah. – AFP

1 ulasan:

Rizal berkata...

NATO adalah seperti alat pembunuh orang awam di Afganistan. Kehidupan yang susah, rakyat tak cukup makan dan jumlah kelahiran yg rendah. Bantuan sokongan perubatan yang lemah.. dari kerajaan... tak lama lagi tiada langsung bangsa Afganistan di Bumi ini...