24 Mei 2011

Husam tanding Naib Presiden PAS, Mazlan cuma tanding AJK

21 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Datuk Husam Musa mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada muktamar tahunan kali ini.

“Atas perkembangan dalam dan luar parti, saya dengan penuh rasa rendah diri mengumumkan untuk menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden.

“Kepada Allah saya bertawakkal dan bimbingan pimpinan dan ahli sangat saya harapkan kerana tanggungjawab dan tugas kepimpinan bagi parti Islam adalah berat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan pada mulanya hanya bercadang untuk bertanding untuk AJK Pusat sahaja.

Namun, katanya dengan perkembangan terbaru di mana Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan sikap mutakhirnya menawarkan diri untuk jawatan lebih tinggi, beliau terpaksa menimbangkan semula pendirian berpandukan pandangan kawasan-kawasan, terutama atas pandangan perlunya satu wakil Kelantan di peringkat yang lebih tinggi di dalam parti.

Mazlan Aliman yang menerima pencalonan bagi dua jawatan iaitu naib presiden dan ahli jawatankuasa hari ini mengesahkan hanya menerima satu daripadanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan Mazlan Aliman mengesahkan menerima untuk bertanding jawatankuasa PAS Pusat, iaitu jawatan yang sedang disandangnya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana beliau ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap Lajnah Tanah Dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat yang dipengerusikannya.

"Setelah menimbang beberapa perkara, saya hanya bersedia untuk bertanding bagi jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat sahaja dan menolak untuk jawatan naib presiden.

"Saya takut hilang fokus terhadap lajnah tanah yang saya pegang sekarang," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Tiada ulasan: