16 Mei 2011

Lelaki Uganda ditahan bawa 15.8kg heroin, ganja

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



ALOR SETAR - Seorang lelaki Uganda dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa diberkas bersama heroin dan ganja sebanyak 15.8 kilogram (kg) bernilai RM353,000 di sebuah stesen minyak di Tanah Merah, Jitra dekat sini malam kelmarin.

Dalam tangkapan pada pukul 11.55 malam itu, sebanyak 43 kapsul berisi 806 gram heroin bernilai RM300,000 ditemui di dalam beg sandang suspek.

Polis turut menemui 15 ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 15kg bernilai kira-kira RM53,000 di dalam beg pakaian warna hitam yang dibawa suspek sama.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika dia menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur.

"Suspek ditahan ketika mundar-mandir di stesen minyak itu sebelum cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis yang mahu menahannya," kata beliau.

Menurut beliau, kapsul dadah berisi heroin yang ditemui itu dipercayai baru dikeluarkan melalui proses buang air besar oleh seseorang kerana warnanya yang kekuningan serta berbau busuk.

Tiada ulasan: