16 Mei 2011

Polis gagalkan cubaan sindiket seludup masuk dadah guna ubi kayu dan keledek

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir (kanan) menunjukkan syabu yang disorokkan dalam ubi kayu pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Polis berjaya menggagalkan kegiatan satu sindiket jenayah yang cuba membawa masuk dadah ke dalam negara dengan cara menyembunyikannya di dalam ubi kayu dan ubi keledek, dalam dua rampasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini sejak dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, taktik baru itu dikesan selepas polis menahan dua lelaki warga Nigeria, masing-masing pada Sabtu lalu dan pagi ini di KLIA, sebaik sahaja mereka tiba dengan penerbangan dari Lagos, Nigeria.

Beliau berkata, ketika ditahan kedua-dua lelaki yang berumur 31 dan 32 tahun itu didapati membawa dua beg, iaitu beg pakaian dan sebuah beg plastik bersaiz besar yang diisi dengan ubi kayu serta ubi keledek yang masih mempunyai kesan tanah.
Katanya, selepas diperiksa beg plastik itu, ia didapati mengandungi beberapa ketul ubi kayu serta keledek dan apabila diteliti terdapat kesan potong serta cantuman menggunakan dawai pada bahagian ubi yang dibawa mereka.

"Selepas diperiksa kami menemui 11 bungkusan berisi dadah dipercayai syabu disembunyikan di dalam ubi kayu dan keledek yang dibuang isi dalamnya itu," katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini.

Nordin berkata, kesemua bungkusan dadah jenis syabu seberat 9.64 kilogram itu bernilai kira-kira RM2.41 juta.

"Kami percaya kedua-dua lelaki ini merupakan anggota sindiket yang sama berdasarkan modus operandi dan taktik yang digunakan. Ketika ditanya mengapa mereka bawa ubi kayu dan ubi keledek itu, mereka mendakwa ia dipesan oleh rakan yang tinggal di sini," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, suspek berumur 32 tahun yang ditahan Sabtu lalu datang ke Melaysia buat pertama kali, manakala bagi suspek kedua berumur 31 tahun yang ditahan kira-kira jam 7.30 pagi ini, ia adalah kunjungan kali kedua ke Malaysia.

Katanya, kedua-dua suspek bekerja di kedai menjual barangan aksesori motosikal di negara mereka.

Nordin berkata, mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Ulasan :

Sebagaimana kelicikan dan pelbagai penipuan yang dilakukan oleh UMNO untuk kekal berkuasa begitulah kelicikan penyeludup yang sempat dicium baunya oleh pihak polis.

Begitulah selicik manapun penipuan UMNO dan BN menipu rakyat necaya rakyat tahu PR adalah harapan mereka untuk kerajaan di Putrajaya selepas PRU ke 13 nanti.

Tiada ulasan: