18 Mei 2011

Menteri Minyak Libya belot

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

FOTO 27 Mei 2009 menunjukkan Shokri menjawab pertanyaan media sebaik tiba di Vienna untuk menghadiri sidang OPEC.
Libya nafi Shokri Ghanem berpaling tadah selepas lari ke Tunisia

TUNIS: Menteri Minyak Libya, Shokri Ghanem, sudah berpaling tadah daripada pentadbiran Muammar Gaddafi dan lari ke Tunisia, dakwaan yang disahkan oleh pemberontak tetapi dinafikan oleh Tripoli.

“Beliau berada di hotel dengan sekumpulan pegawai Libya lagi,” kata sumber di Tunisia kepada agensi berita manakala seorang lagi sumber keselamatan menyatakan Shokri, 68, dalam perjalanan ke Tunis.

Tetapi, seorang pegawai Libya di ibu negara Tripoli menegaskan, tiada tanda-tanda bahawa Shokri yang juga pengerusi Perbadanan Minyak Kebangsaan Libya (NOC) sudah belot.

“Saya tiada berita menyatakan beliau meletakkan jawatan, berpaling tadah atau seumpamanya. Sudah menjadi kerjanya untuk bergerak ke sana sini dan menghubungi syarikat minyak.

“Jadi, kami tidak mendengar apa-apa pun selain daripada beliau menjalankan tugas seperti biasa,” kata pegawai itu lagi yang dipetik agensi berita Reuters.

Menurut satu lagi laporan oleh agensi Agence France Presse (AFP), Shokri sudah melintasi masuk sempadan Tunisia menggunakan sebuah kereta dan berada di hotel pulau Djerba.
Pengurusan hotel itu memberitahu, pegawai kanan Libya berkenaan membawa anggota keluarganya tetapi tidak diketahui destinasi mereka.

Buat masa ini, Shokri belum menghubungi pegawai kerajaan Tunisia selepas melintas sempadan Ras Jedir.

Ada juga laporan memetik seorang pekerja hotel berkenaan sebagai memberitahu bahawa Shokri sudah mendaftar keluar hotel paling mewah di Djerba itu.

Anggota keselamatan di lapangan terbang Djerba berkata, Shokri tidak dikesan berada di terminal berkenaan.

Jika Shokri benar-benar belot, beliau adalah pegawai paling kanan meninggalkan kerajaan Gaddafi selepas pemberontakan meletus pertengahan Februari lalu.

Bekas Menteri Luar, Mussa Kussa berpaling tadah di Britain pada Mac lalu selepas keluar dari Libya dan masuk ke Tunisia.

April lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat membekukan aset lima pegawai kanan Gaddafi termasuk Shokri bagi memaksa orang kanan pemimpin itu belot. – AFP/Reuters

Tiada ulasan: