08 Jun 2011

AS suruh Saleh serah kuasa

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Ali Abdullah Saleh
25 lagi terbunuh keadaan dalam negara Yaman terus kacau bilau

SANAA: Amerika Syarikat terus mendesak Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh supaya menyerah kuasa ketika 25 lagi maut selepas pertempuran meletus semalam antara tentera Yaman dengan kumpulan lelaki bersenjata disyaki anggota pergerakan al-Qaeda di selatan negara itu.

Saleh, 69, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Arab Saudi selepas cedera dalam serangan di istana presiden, Jumaat lalu.
Pembangkang yang disokong penunjuk perasaan bersumpah untuk menghalangnya kembali berkuasa sementara Amerika menggesa satu “peralihan kuasa segera.”

“Kami percaya satu peralihan segera adalah yang terbaik demi kepentingan rakyat Yaman dan mengekalkan kestabilan secara jelas dalam satu situasi amat tidak stabil,” kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, bercakap bersebelahan rakan sejawatannya dari Perancis Alain Juppe dalam satu sidang media di Washington, pula jelas mengatakan Saleh perlu berundur.

“Saya tidak dapat buat spekulasi apa yang akan dilakukan atau diperkatakan Saleh, namun kami mahu menegaskan dan menggesa satu peralihan kuasa secara aman dan teratur, bukan secara ganas supaya sejajar dengan perlembagaan Yaman.

“Kami fikir peralihan segera memenuhi kepentingan rakyat Yaman kerana ketidakstabilan dan kekurangan kawalan keselamatan tidak dapat ditangani sehingga ada proses menjurus kepada pembaharuan ekonomi dan politik yang dicari mereka” katanya.
Washington menyokong pendirian blok Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan menyaksikan Saleh menyerahkan kuasa kepada sebuah pentadbiran sementara dalam tempoh 30 hari sebagai pertukaran kekebalan daripada pendakwaan.

Namun, timbalan Saleh, Abu-Rabbu Mansur Hadi berkata presiden semakin pulih dan beliau akan kembali ke Yaman dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sementara itu, dalam pertempuran terbaru antara tentera Yaman dan al-Qaeda di selatan Yaman, 25 orang terkorban, sembilan daripadanya anggota tentera.

Pertempuran meletus apabila tentera diserang ketika bergerak ke bandar Zinjibar pada waktu malam bagi merampasnya semula daripada kawalan pelampau.

Penduduk melaporkan, pertempuran meletus di luar Zinjibar tetapi tentera belum berupaya memasuki bandar itu.

Militan disyaki al-Qaeda mengawal sebahagian besar Zinjibar, ibu kota wilayah Abyan selepas membuat serbuan 29 Mei lalu. Hanya pangkalan tentera di bandar itu, menempatkan briged mekanikal ke-25 berada di tangan kerajaan.

“Pertempuran hebat meletus antara tentera dan lelaki bersenjata al-Qaeda apabila tentera mara ke arah bandar untuk menawannya,” kata pegawai tentera menyatakan sembilan askar maut dan 10 lagi cedera. – AFP

Tiada ulasan: