08 Jun 2011

Cedera dirempuh kuda

6 Rejab 1432H. [MOD] -


GEORGETOWN: Percutian empat sekeluarga hampir berakhir dengan tragedi memilukan apabila seorang daripada mereka cedera dirempuh seekor kuda yang ditunggang seorang lelaki di pantai Batu Feringgi, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, keluarga berkenaan dikatakan sedang bermain di tepi pantai berhampiran dengan sebuah hotel, kira-kira jam 10.30 pagi.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, kuda yang ditunggang seorang lelaki tiba-tiba muncul di celah pengunjung sebelum merempuh seorang kanak-kanak, Arina Kirana Azrin, 5, menyebabkannya terpelanting. Berikutan rempuhan itu, tulang selangka Arina dipercayai patah.

Bapanya, Azrin Abdul Razak, 37, seorang kakitangan awam di Putrajaya berkata, keluarganya bercuti dan menginap di sebuah hotel berhampiran bersama isteri dan dua anaknya termasuk Arina.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari tempat Arina dan kakaknya yang berusia 12 tahun bermain.

Katanya, kejadian berlaku begitu pantas apabila dalam keadaan pengunjung yang ramai kuda berkenaan dipercayai merempuh anaknya menyebabkan anaknya terpelanting.

“Keadaan menjadi kelam-kabut dan dia yang panik terus menerkam anaknya yang dalam keadaan separuh sedar sebelum mengejarkannya ke sebuah klinik berhampiran dengan bantuan kakitangan hotel.

“Selepas menerima rawatan awal itu, Arina diarahkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dikehendaki menjalani pemeriksaan X-Ray sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Azrin berkata, dia kecewa dan marah terhadap penunggang kuda dipercayai ‘budak pantai’ yang melarikan diri dari tempat kejadian tanpa bertanggungjawab terhadap tindakan dilakukannya.

Menurutnya, lebih kecewa lagi apabila dia dimaklumkan aktiviti berkuda di pantai diharamkan kerajaan negeri.

“Hanya Tuhan saja mengetahui dan mengerti perasaan saya ketika ini dan sebagai bapa saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab itu,” katanya.

Tiada ulasan: