01 Jun 2011

Fitnah punca keruntuhan

29 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Penyebaran fitnah dalam dunia politik yang berselindung di sebalik nama agama boleh menjadi punca utama keruntuhan sesebuah kerajaan.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sejarah lampau perlu dijadikan pedoman apabila banyak tamadun Islam musnah akibat salah guna agama dalam berpolitik seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

“Khalifah Usman sendiri jatuh dari tampuk pemerintahan kerana fitnah apabila beliau dituduh tidak telus dalam pelantikan pegawai kerajaan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan fitnah sebagai senjata politik dapat dilihat di Malaysia di mana golongan politik sejak dahulu lagi kerap menyalahgunakan agama untuk menarik sokongan orang ramai.

“Orang politik sedar agama yang menjadi tunjang kehidupan rakyat boleh digunakan untuk mempengaruhi orang ramai bagi mencapai kepentingan politik sesebuah parti itu.

“Jika kita lihat, banyak ulama kini mengeluarkan dalil berbeza mengikut isu berkaitan pemilihan politik mereka sendiri. Ini tidak betul,” katanya semasa wacana anjuran Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Asri, agama boleh menjadi madu dan penawar bagi menghentikan semua kepincangan dalam politik tetapi ia juga boleh menjadi racun dan menyebabkan kacau-bilau jika disalahgunakan.

“Manusia melakukan fitnah kerana ingin bersaing dan mahu mewujudkan pengaruh. Golongan yang mempunyai kuasa pula ingin terus kekal di atas dan menggunakan fitnah untuk menumpaskan pesaing mereka.

“Sebab itu, agama perlu berada di atas politik dan bukan parti politik yang mengarah golongan ulama supaya mengeluarkan fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka,” katanya lagi diikuti dengan tepukan gemuruh hadirin.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: