01 Jun 2011

PKR tuntut jawapan berhubung kematian Sarbani

29 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PKR hari ini menghantar memorandum kepada ketua polis negara bagi menuntut jawapan berhubung kematian pegawai kastam Ahmad Sarbani Mohamed.

Naib presiden parti itu N Surendran yang menyerahkan memorandum berkenaan kepada ibu pejabat polis di Bukit Aman pagi ini mempersoalkan mengapa tiada tangkapan ataupun pendakwaan berhubung kes tersebut setakat ini.

“Tidak ada tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis yang boleh mengembalikan keyakinan orang ramai ataupun apa-apa yang dilakukan bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Rakan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang juga hadir bersama mahu tindakan segera dan juga jawapan daripada SPRM berhubung mengapa kes berkenaan masih belum diselesaikan.

“Mereka bukan sahaja berhutang jawapan kepada kami tetapi juga kepada balu Ahmad Sarbani,” katanya.

Sarbani, 56, dijumpai mati di tingkat satu ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April selepas secara sukarela ke pejabat berkenaan bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau adalah penolong pengarah di Jabatan Kastam Selangor dan adalah antara 62 orang yang ditahan pada 1 April dalam satu operasi membanteras gejala rasuah yang dijalankan ke atas pejabat Kastam seluruh negara.

Namun balunya, Masiah @ Maziah Manap yang membuat laporan polis pada 2 Mei lalu mendakwa seorang pegawai kastam secara tidak langsung memberitahunya bahawa Sarbani dibunuh oleh seorang pegawai SPRM.

Menurut Surendran, dakwaan itu sangat serius tetapi SPRM terus membisu.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: