17 Jun 2011

Hikayat Hang Nadim

15 Rejab 1432H. [MOD] -

Semalam, saya berdiskusi dengan beberapa teman pulang bercuti sempena cuti sekolah yang panjang. Ternyata, ruang dan peluang ini amat bermakna. Beberapa surah diambil sebagai bahan kajian. Sasarannya adalah sikap watak yang ditonjolkan dalam kisah Al-Quran itu. Sikap Yusuf dan adik beradiknya menjadi tema utama.

Syarahnya, sikap Maharaja Zulqarnain dan kaumnya pula menyusul. Akhirnya, disedut sedikit sikap raja yang zalim dalam kisah Ashab Al-Ukhdud.

Sebelum bersurai, seorang teman yangsedang meneruskan pengajian sasteranya di peringkat M.A mencelah. "Sastera Melayu ada mencatat kisih sepersis ini ".

"Ya, karya Tun Sri Lanang, Singapura dilanda Todak!", Sambung seorang lagi.

Karya klasik ini memuatkan gabungan sejarah, mitos dan lagenda mungkin tidak begitu sahih untuk dijadikan sumber sejarah. Namun ianya membawa minda kita untuk melihat tasawwur dan pemikiran bangsa Melayu pada zaman purba.

(mungkin berlarutan sampai ke zaman pasca merdeka) Watak yang dibawa oleh Tun Sri Lanang seakan masih hidup dan sedang berlegar seputar kita pada hari ini.

Kisah seorang wali alim, Tun Jana Khatib yang dibunuh raja Temasik. Pembunuhan itu mengundang bala berupa todak melanda. Ramai rakyat yang terkorban lantaran kebodohan dan kebongkakan dan kengkuhan sang raja. Akhirnya, si pemuda pintar bernama Hang Nadim melontarkan pandangan bernas, batang pisang dijadikan kubu. Tapi, akhirnya, pemuda bijak ini dibunuh kerana para pembesar istana bimbang akan survival politiknya akan terjejas.

Dalam kisah itu, Maharaja Singapura telah membunuh Tun Jana Khatib, wali yang alim lagi peramah dan berkebajikan. Baginda murka lantaran Tun Jana Khatib berketurunan Pasai yang terkenal dengan Tanah yang kuat pegangan agamanya. Pasai merupakan Kerajaan Islam pertama di nusantara. Selepas Tun Jana Khatib dibunuh, Temasik dilanda todak. Lantaran itu, baginda menitahkan rakyat jelata berkotakan betis.

Maka, ramailah nyawa rakyat jelata terkorban. Nyata benar akan sikap pembesar itu yang amat pentingkan diri. Baginda hanya bertenggek angkuh di pundak gajah, sedang rakyat rebah bermandi darah. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Sekoyong-koyong, datanglah seorang pemuda yang punya otak bergeliga.

“Apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?”

Idea bernas dari budak tersebut telah menyebabkan todak-todak yang menyerang pulau tersebut terlekat pada batang pisang. Todak itu kemudiannya dibunuh oleh orang-orang di pantai. Ada seekor todak yang melompat ke atas gajah Paduka Seri Maharaja, terkena baju baginda hingga terkoyak, dan dijadikan seloka oleh orang ramai,

“Carik baju dilompati todak, Baharu menurut kata budak.” Sinis benar seloka ini menegur.

Melihat kecerdikan Hang Nadim, Orang Besar Istana mencadangkan agar Hang Nadim tersebut dibunuh. “Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah ia kita bunuh, tuanku.”

Alasan mereka, pandangan budak muda itu telah mencabar kewibawaan istana. Maka watak Maharaja Temasik cetek fikiran dan pendek akal yang digambarkan oleh Tun Seri Lanang itu telah menerima cadangan dan diikuti nasihat orang besar tersebut.

Hang Nadim yang bijak akhirnya dibunuh. Mereka bukan tidak tahu akan bernasnya pandangan murni Hang Nadim. Pandangan itu telah menyelamatkan nyawa penduduk Temasik dari terus ditikam Todak. Namun, jiwa hitam mereka takut, suatu hari nanti, Hang Nadim akan menurunkan mereka dari takhta kuasa. Otak muda bergeliga itu pastinya mudah mencerap keburukan mereka suatu hari nanti. Maka, kuasa dan survival mereka akan hilang

Watak ini masih hidup di dunia realiti pasca Malaysia merdeka. Sinonim benar cerita sang penguasa takutkan ulama'. Sinonim benar para pembesar yang kurang cerdik. Sinonim juga dengan para orang besar, tuan kuasa dan pak menteri yang sangat takutkan idea orang muda yang segar. Idea yang bakal mengganggu gugat survival kerusi dan kuasa mereka. Sinonim juga cerita orang besar 'menyembelih' dan 'membunuh' anak muda dengan pelbagai senjata undang dan akta.

Lihat sahaja zaman sebelum merdeka, para cendikiawan Islam yang segar dari Asia Barat yang kembali ke Tanah Air dengan nafas serta degup baru perjuangan menentang penjajah bobrok dilabelkan sebagai Kaum Muda. Label mudah untuk menggambarkan mereka adalah golongan tidak beradab dan ektremis. Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi, Za'ba dan Tok Janggut adalah contoh yang terbaik.

Terkemudiannya, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Prof Burhanuddin Al-Helmi juga dipalitkan dengan label yang sama. Mutakhir ini, Tuan Guru Nik Abd Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga menerima padahnya. Golongan konservatif amat mencemburui kompetensi mereka dalam berdakwah.

Era 70-an pula menyaksikan kebangkitan anak muda terpelajar dari rahim universiti tempatan yang lantang membela rakyat dan menegur sang penguasa. Zaman keemasan itu menyaksikan gerombolan anak muda pimpinan Anwar Ibrahim (YB Datuk Seri) dan Hishamuddin Rais menuntut pembelaan buat rakyat dan negara.

Ustaz Hadi Awang (YB Datuk Seri) tidak ketinggalan untuk menjadi idola anak muda dengan idea perjuangannya segar yang dilontarkan ketika berceramah di Univeristi Malaya.

Maka, untuk menyekat kebangkitan ini, 'Maharaja Temasik' membunuh mereka dengan 'senjata' akta dan akujanji yang dikuatkuasakan di semua institut pengajian tinggi. Maka, tinggallah univeristi sebagai kilang untuk mendagangkan sistem pendidikan.

Ilmuan yang lahir bukan ilmuan sejati, bahkan ilmuan pondan yang boleh dicucuk hidung oleh san penguasa. Mereka menjadi buruh paksa rela untu memasarkan idea zalim sang penguasa kepada rakyat jelata melalui pelbagai teknik dan cara. Kementerian Pendidikan yang bertukar menjadi Kementerian Pelajaran (baca : Industri Pelajaran) adalah salah satunya.

Sejarah Ibrahim menyaksikan golongan anak muda diremeh-temehkan dalam masyarakat. Konotasi anak muda dikatikan dengan sikap panas baran, tidak matang dan terburu-buru. Itulah sikap anak muda. Yang perlu diubah bukannya tabiat mereka, tetapi sikap orang tua yang mudah menyalahkan ank muda. Potongan ayat Surah Al-Kahfi membenarkan idea ini.

Dan Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat Dengan orang-orang Yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, Yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah Engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana Engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah Engkau mematuhi orang Yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di Dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. [Al-Kahfi : 28]

Menyekat anak muda bukan jalan yang baik. Sebaliknya, orang tua perlu lebih penyabar untuk mendepani 'kerenah' anak muda. Anak muda yang lapang waktunya akan mudah rosak dan punah seperti punahnya air yang bertakung. Saya secara peribadi menyambut baik idea Perdana Menteri yang ingin menubuhkan Parlimen Belia, samada ia bermotif polotik mahupun tidak. Anak muda perlukan tempat untuk mempamerkan pencak.

Sekurang-kurangnya, dengari idea mereka meski tidak pernah menarik untuk dipraktik. Nabi Sulaiman mendengar dari Hud-Hud. Sedang kalian bukan Sulaiman dan mereka bukan Hud-Hud.

Idea anak muda mesti didengari buat kebaikan semua. Jangan diulangi kesilapan Seri Maharaja.

Ihsan Fadhli Che Min