22 Julai 2011

22 maut panas melampau

20 Syaaban 1432H. [MOD] -

Suhu di timur Amerika dijangka meningkat hingga 38 darjah celsius

CHICAGO: Gelombang panas yang melanda bahagian tengah dan selatan Amerika, sudah mengorbankan 22 orang minggu ini, manakala jabatan perkhidmatan kaji cuaca meramalkan gelombang yang sedang menuju ke timur itu akan berterusan selama beberapa minggu lagi.

Jabatan itu melaporkan, seramai 141 juta penduduk di lebih 20 negeri di Amerika diberi nasihat atau amaran berikutan suhu yang semakin panas, manakala bahagian tengah Amerika sudah mengalaminya sejak akhir Mei.

Di Wichita, Kansas, jabatan kaji cuaca memberi amaran bahawa suhu akan meningkat hingga 38 darjah celsius setiap hari hingga hingga Selasa depan.

“Keadaan cuaca terlalu panas dan sungguh menyiksakan,” kata jurucakap Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Chris Vaccaro.

Gelombang panas dilaporkan sedang bergerak menuju ke bahagian tengah Atlantik.
Suhu diramal mencapai 32 darjah celsius di Washington DC dan dijangka meningkat kepada 38 darjah celsius menjelang esok.

Pakar kaji cuaca berkata, gelombang panas dijangka berterusan hingga Ogos di kebanyakan negeri di timur Amerika.

Laman web Pusat Perkhidmatan Perubahan Iklim Global, AccuWeather.com meramalkan, kesan daripada gelombang panas kali ini dari segi kehilangan nyawa, penggunaan tenaga elektrik, kerosakan jambatan dan jalan raya akan mengatasi gelombang panas 1995, yang mengorbankan ratusan nyawa di Chicago saja.

Jabatan Kaji Cuaca melaporkan, beberapa hospital di Wichita sudah merawat sekurang-kurangnya 25 jenis penyakit yang dikaitkan dengan kesan cuaca panas.

Di Des Moines, Iowa, seramai 16 orang dimasukkan ke hospital selepas jatuh sakit akibat terdedah dengan cuaca terlalu panas. – Reuters

Tiada ulasan: