22 Julai 2011

Yingluck ditentang

20 Syaaban 1432H. [MOD] -

BANGKOK - Bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menegaskan akan tetap melaksanakan rancangan kenaikan gaji minimum 300 bath (RM30) sehari walaupun menerima bantahan sektor swasta.

Yingluck yang disahkan sebagai ahli Parlimen oleh Suruhanjaya Pilihanraya, Selasa lalu berkata, beliau akan mengadakan rundingan bersama parti gabungannya untuk membincangkan pelaksanaan dasar itu yang dijanjikan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya lalu.

Menurutnya, janji kenaikan gaji minimum akan dipenuhi tetapi ia perlu dibincangkan dahulu bersama agensi kerajaan dan sektor swasta bagi mengelakkan kesan buruk pada masa hadapan.

Bagaimanapun, sektor swasta Thailand awal-awal lagi membantah campur tangan politik berhubung pembayaran gaji buruh kerana menganggap ia perlu diputuskan pasaran buruh sendiri.

Jika dasar gaji minimum harian itu diluluskan, sektor swasta menuntut kerajaan Thailand membantu mengimbangkan kos tambahan yang didakwa akan memberi kesan kepada pengeluar.

Tiada ulasan: