28 Julai 2011

Pelantikan PM baru Thailand 1 Ogos ini

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Pihak berkuasa pilihan raya Thailand, semalam bertungkus-lumus bertugas mengesahkan calon yang menang pada pilihan raya umum 3 Julai lalu bagi memberi laluan kepada pembentukan Parlimen baru dan pelantikan perdana menteri baru yang dijangka dilakukan pada awal Ogos.

Setakat ini, 402 daripada 500 calon yang menang sudah diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) yang berhempas-pulas menangani sejumlah besar aduan dalam beberapa hari ini.

Sekiranya semua berjalan lancar, Yingluck Shinawatra, adik perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra akan menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand selepas parti Phue Thai menang besar dalam pilihan raya lalu. Mengikut undang-undang, EC perlu mengesahkan 95 peratus daripada calon yang menang atau 475 daripada 500 kerusi Parlimen supaya dewan rakyat dapat mengadakan persidangan rasmi pada Isnin, 1 Ogos ini. EC menegaskan ia akan dapat menyelesaikan proses itu a hari ini (semalam).

Sesi Parlimen bagi memilih speaker dewan akan dilakukan pada hari sama atau seberapa segera. Ia kemudian disusuli dengan sesi pelantikan perdana menteri. Minggu lalu, EC mengesahkan enam calon Phue Thai yang juga pemimpin kumpulan Baju Merah, menolak pertikaian mengenai peranan mereka dalam rusuhan demonstrasi berdarah di Bangkok tahun lalu. - Reuters

Tiada ulasan: