18 Julai 2011

Pemimpin utama PSM mahu jumpa Hishamuddin

16 Syaaban 1432H. [MOD] -

Pemimpin kanan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut pihak kementerian dalam negeri berunding dengan mereka bagi membebaskan enam rakan mereka yang masih ditahan mengikut Ordinan Darurat.

“Jika Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein boleh berjumpa dengan orang di sebalik protes kepala lembu, beliau seharusnya tidak ada masalah berjumpa dengan perwakilan parti politik yang sah,” kata setiausaha agung PSM S Arutchelvam.

Perwakilan parti itu yang terdiri daripada 12 anggota diketuai pengerusinya Dr Nasir Hashim yang tiba pada jam 11 pagi.

Meskipun telah menyatakan hasrat untuk berjumpa sebelum ini, namun perwakilan PSM diminta menunggu kerana pegawai khas Hishamuddin sedang bermesyuarat manakala menteri itu sedang berada di luar negara.

Arutchelvam dan Nasir mengakui bahawa parti itu berpendirian kiri dan sosialis, namun ia adalah parti yang sah serta tidak melakukan apa-apa kesalahan kecuali memperjuangkan hak rakyat dianggap satu jenayah pada kaca mata kerajaan.

“Bebaskan mereka atau dakwa mereka di mahkamah. Jangan biarkan rakan kami dibiarkan sebegitu,” kata Nasir.

Enam aktivis PSM yang ditahan tanpa sebarang hak perbicaraan itu, termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar.

Mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditangkap di plaza tol Sungai Dua di Kepala Batas, Pulau Pinang yang didakwa cuba menyebarkan ideologi komunis dan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Rakan-rakan mereka yang lain telah dibebaskan mengikut jaminan polis.

malaysiakini/

Tiada ulasan: