26 Julai 2011

Penyelia feri mati ditembak dalam rompakan

24 Syaaban 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 26 Julai – Seorang penyelia syarikat perkhidmatan feri ke Langkawi mati ditembak, dipercayai satu kejadian rompakan, berhampiran rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah dekat sini malam tadi.

Mangsa Zamzuri Ghazali, 36, ditembak kira-kira 300 meter dari rumahnya sewaktu menunggang motosikal ketika pulang dari Jeti Kuala Kedah untuk ke rumahnya.

Mangsa dipercayai membawa sebuah beg mengandungi wang hasil jualan tiket syarikat tempat dia bekerja.

Jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zam berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 7.45 malam itu, dia bersama dua rakannya berada kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Katanya ketika itu mereka sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah setelah bermain sepak takraw dan azan Maghrib baru selesai berkumandang.

Zam berkata, tiba-tiba dia terdengar tiga das tembakan di hadapan mereka lalu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa terbaring tidak bermaya dan terdapat darah dan kesan tembakan di dada kanan mangsa.

"Sebelum itu saya melihat dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal mengambil beg yang dibawa mangsa lalu memecut laju ke arah Kuala Kedah,” katanya ketika ditemui lewat malam tadi.

Zam berkata, dia terus membuat panggilan kecemasan ke Balai Polis Kuala Kedah bagi memaklumkan kejadian itu dan kemudian membawa mangsa ke hospital dengan menggunakan kenderaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Zamzuri meninggalkan seorang balu berusia 32 tahun dan empat orang anak yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Bernama

Tiada ulasan: