26 Ogos 2011

PAS Selangor: Jais perlu segera dakwa jika ada bukti murtad

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Ogos ─ Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu segera mendakwa jika ada pihak yang didapati memurtadkan 12 umat Islam yang berada di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) ─ yang menjadi fokus sejak awal bulan ini, kata PAS Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad (gambar) berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan serta andaian yang bukan-bukan ekoran liputan meluas media sejak tiga minggu lalu.

Jawatankuasa Pendengaran yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri mengadakan pertemuan semalam dengan dihadiri oleh Jais dan wakil gereja dan pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan majlis makan malam muhibah pada 3 Ogos lalu.

Hasil pertemuan itu belum dikeluarkan lagi.

“Setiap hari kita membaca dalam akhbar Melayu berhubung isu DUMC. Gambaran yang diberikan adalah seolah-olahnya ia sudah terbukti bahawa ada usaha memurtadkan 12 orang Melayu yang hadir pada program anjuran NGO Harapan Kommuniti pada malam tersebut.

“Segala penafian pihak gereja dan NGO berkenaan ditolak ke tepi dalam usaha semua akhbar, termasuklah Sinar Harian, untuk mewujudkan satu persepsi bahawa ia sudah muktamad, tiada keraguan sama sekali, bahawa itulah tujuan disebalik program berkenaan.

Mungkin saya tidak perasan, telahkah ianya dibuktikan dimahkamah? Telahkah pihak DUMC dan Harapan Kommuniti didakwa oleh pihak JAIS? Sekiranya belum, maka apakah agenda sebenar akhbar ini?” kata Khalid dalam entri blognya semalam.

Dalam satu kenyataan lewat petang semalam, Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, badan itu masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan berhubung pemeriksaannya ke atas gereja tersebut.

“Terdapat saksi-saksi yang enggan memberi kerjasama untuk kenyataan mereka direkodkan, ini menyebabkan kelewatan pihak Jais melengkapkan siasatan terhadap kes ini,” katanya.

Malah katanya, Jais perlu memastikan bahawa siasatan yang dijalankan ini adalah telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan Jais juga tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru kerana dikhuatiri akan mengakibatkan penyiasatan tidak dapat dijalankan secara menyeluruh dan terperinci.

Jais perlu sentiasa mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat dalam kes ini dan memastikan keadilan dicapai terhadap semua pihak, kata Marzuki.

Mengulas lanjut isu semasa ini, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pada hakikatnya belum ada dakwaan dan apa yang dibawa “hanyalah mainan berita dan khabar angin yang dilayangkan depan mata rakyat hari demi hari.”

“Video yang dibocorkan sebenarnya tidak membuktikan apa-apa. Pengakuan yang dibuat oleh lelaki berkenaan adalah benar bagi kebanyakan umat Islam dan tidak merupakan bukti bahawa beliau telah murtad,” katanya.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini menambah, jika membaca al-Quran tanpa memahaminya merupakan bukti murtad, maka sudah pasti ramai dari umat Islam di Malaysia akan disabitkan kesalahan yang sama.

“Ketidakketahuan seorang wanita Cina yang ditanya pegawai Jais mengenai kehadiran orang Islam juga bukan merupakan bukti yang kukuh.

“Secara umumnya, dari 100 lebih yang hadir, bukan semua penganjur program. Sudah pasti lebih ramai yang hadir sebagai jemputan dan tidak mustahil seorang jemputan tidak tahu perkara tersebut. Maka tidak mustahil juga wanita tersebut adalah seorang jemputan,” katanya lagi.

Namun menurut Khalid, kesemua kemungkinan itu ditolak sejak dari awal kerana sememangnya ada agenda tertentu yang ingin diusahakan - kononnya di bawah Pakatan Rakyat, Melayu dikristiankan.

“Oleh itu, untuk mengelakkan salah faham dan kekeliruan serta andaian yang bukan-bukan, Jais perlu mendakwa golongan yang dianggap terlibat dalam usaha memurtadkan orang Islam ini dengan kadar segera dan sekiranya mereka ini didapati bersalah, maka mereka perlu dihukum,” katanya lagi.

Selagi tindakan pendakwaan tidak dilakukan oleh Jais, kata beliau, umat Islam di Selangor khususnya perlu berwaspada kerana ada kemungkinan isu terbaru ini adalah mainan politik kotor pihak Umno.

“Ia usaha untuk mengekalkan kedudukan berkuasa mereka tanpa dihiraukan impak politik ke atas masyarakat dan imej buruk yang diberikan kepada Islam. Pemberian kerakyatan kepada warga asing supaya menjadi pengundi mereka, tindakan dan usaha adu-domba, semuanya sanggup dilakukan demi terus berkuasa.

“Namun walau apa yang dilakukan, saya yakin insya-Allah, seperti Zainal Abidin dan Mubarak, akan jatuh juga akhirnya Gaddafi. Begitu jugalah akhirnya dengan Umno-BN,” katanya.

Oleh G Manimaran
malaysian insider/-

Tiada ulasan: