18 September 2011

Bebaskan Tahanan ISA dan Minta Pemimpin BN bersikap ‘Gentleman’

20 Syawal 1432H. [MOD] -
PAS Miri.

Akta ISA Patut Dihapuskan

Baru baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA],dan ramai yang menyokong pengumuman tersebut. Kalau benar akta ISA dimansuhkan sepatutnya tahanan ISA yang ada sekarang juga patut dibebaskan dengan segera atau dibicarakan di mahkamah terbuka. Apa erti akta ISA dimansuhkan sedangkan tahanan ISA masih lagi meringkuk dalam penjara. Kita minta semua tahanan ISA dibebaskan dengan segera dan jangan pula selepas ini ada lagi akta yang lebih kejam dan zalim dari akta ISA. Sepatutnya akta ini sudah lama dihapuskan setelah komunis menyerah diri dan meninggalkan perjuangan mereka. Oleh kerana akta ISA selama ini telah disalahgunakan untuk menangkap pemimpin pembangkang yang bersuara lantang menentang pemerintah dan mereka yang dituduh tanpa bukti maka sebab itulah kita mendesak agar akta ISA dimansuhkan atau dihapuskan sama sekali tanpa prejudis.

Akta ISA juga tidak memberi peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan di mahkamah terbuka maka memang patut dihapuskan dari dulu lagi. Sekiranya ada akta baru yang akan menganti akta ISA nanti janganlah ianya lebih teruk atau zalim dari yang ada sekarang. Kita akan menyokong setiap perkara yang baik untuk semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Jangan Melarang Rakyat Mendengar Penjelasan

Merujuk kepada kenyataan Datuk Peter Chin di Miri baru-baru ini dan mengingatkan penduduk kampung supaya jangan menerima kedatangan orang luar (pembangkang) ini suatu perbuatan yang diluar amalan demokrasi. Negara ini mengamal dasar demokrasi bukan bersifat seperti dasar komunis yang mana hanya suatu pihak saja yang berhak bersuara sedangkan yang lain dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan atau
memberi penerangan kepada rakyat.

Kita yakin Miri akan jatuh kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya umum nanti sekiranya rakyat dapat menerima maklumat yang jelas dan tepat tentang dasar dan perjuangan PR dari pimpinan PR sendiri. Mungkin disebabkan takut kepada pemimpin PR yang akan memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat maka dengan sebab itu kita selalu mendengar pemimpin BN mengeluarkan kenyataan kepada rakyat supaya jangan menerima kedatangan pemimpin PR. Kita minta pemimpin BN bersikap ‘gentleman’ dan jangan takut menghadapi rakyat biar rakyat yang menentukan siapa yang layak untuk memimpin mereka bukan hanya BN saja. Kalau BN takut menghadapi rakyat secara demokrasi lebih baik jangan masuk politik dan bertanding dalam pilihanraya umum nanti dan biarkan orang yang berani dan layak saja yang akan memimpin negara ini dimasa hadapan demi kebajikan rakyat semua.

PAS Miri
Jofri Jaraiee

Tiada ulasan: